PETALING JAYA: Bank Rakyat diiktiraf atas komitmen cemerlang dalam kelestarian apabila menerima anugerah ‘Kecemerlangan dalam ESG’ sempena Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2024.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi merangkap Penanggung Tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Sheraton Imperial.
Nor Haimee berkata, pengiktirafan itu membuktikan kecemerlangan Bank Rakyat dalam melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selaras dengan matlamat kelestarian organisasi.
“Anugerah ini mengiktiraf usaha kami dalam merangka dasar kelestarian yang memenuhi piawaian tertinggi, menyokong pembangunan sosioekonomi negara, mempercepat peralihan hijau, serta memperkukuh kemahiran dan kesiapsiagaan warga kerja.
“Kami juga menyediakan produk pembiayaan hijau patuh Syariah bagi memudahkan pembelian kenderaan elektrik, rumah hijau dan pemasangan panel solar untuk menggalakkan penggunaan tenaga bersih,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bank Rakyat turut memastikan amalan ESG diterapkan dalam setiap inisiatif jangkauan komuniti bagi memberi impak positif kepada ekonomi, sosial, dan alam sekitar.
“Penghargaan ini memberi motivasi kepada kami untuk terus berinovasi dan melaksanakan strategi baharu demi masa depan yang lebih mampan,” katanya.
Anugerah ini menyerlahkan komitmen Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi Malaysia Madani serta usaha pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara. – UTUSAN