SABAK BERNAM: Kerajaan sedang mengatur gerak pembinaan sebanyak 32 jambatan Bailey di semua kawasan yang terjejas akibat banjir sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan setakat ini mengenal pasti tujuh lokasi terlibat yang akan diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, ujian tanah sedang dilaksanakan di kawasan tertentu sebelum membina jambatan tersebut.
“Beberapa tindakan kejuruteraan dilakukan di kawasan terjejas yang dikenal pasti mempunyai struktur tanah lembut dan mudah rosak.
“Kos keseluruhan bergantung kepada siapnya kerja pembinaan jambatan itu namun saya meminta ia disiapkan dalam tempoh 72 jam,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sungai Besar di sini, hari ini.
Sebelum ini, beliau mengarahkan tinjauan semula dilakukan di laluan-laluan yang terputus akibat bah bagi lokasi pembinaan jambatan Bailey.
Jelas Ahmad Zahid, kebanyakkan jambatan Bailey itu dibina di Kelantan dan Terengganu.
“Pembinaan dua jambatan itu telah siap sepenuhnya di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan. Kita ketika ini sedang meneliti situasi (banjir) di Terengganu bagi membina jambatan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, pembinaan jambatan itu turut melibatkan kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan Nadma dan agensi terlibat berada dalam kesiapsiagaan tinggi menghadapi gelombang kedua banjir bermula hari ini.
“Kita jangan pandang mudah perkara itu dan perlu terus bersedia menghadapinya biarpun jumlah mangsa sudah menurun. Apa yang kita bimbang gelombang itu dijangka melanda negeri seperti Pahang dan Johor. Jadi, kita kena siap siaga,” katanya.
Semalam, beliau memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramal gelombang kedua banjir berlaku dalam tempoh dua minggu dengan Pahang dan Johor antara negeri terjejas dan ia dijangka turut melanda Sabah dan Sarawak antara hujung bulan ini hingga Mac tahun depan.
Kesiapsiagaan menerusi pengagihan perkhidmatan bagi aset, peralatan dan keanggotaan telah diatur gerak manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat menyelaras usaha dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara. – UTUSAN