Banjir: 9 pusat pemindahan kekal, tampung lebih ramai mangsa

Banjir: 9 pusat pemindahan kekal, tampung lebih ramai mangsa

AHMAD Zahid Hamidi melihat gambar-gambar projek pembinaan jalan pada Majlis Perasmian Penyerahan Jalan Luar Bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Jalan Peket 100, Simpang Lima, Sabak Bernam, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM : Kerajaan sedang berusaha menyiapkan sembilan pusat pemindahan kekal (PPK) yang berkapasiti lebih besar bagi pemindahan mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan kesesakan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah kerana tidak mampu menampung jumlah mangsa yang tinggi.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu, pembinaan PPK diharap turut mengurangkan impak kerosakan di sekolah terlibat.

“Kebanyakan sekolah seperti dewan dan kelas di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS perlu dibaik pulih semula kerana mengalami kerosakan.

“Kita mendapati kos penyelenggara semula itu terlalu tinggi dan perlu adanya PPK yang dapat menempatkan lebih ramai mangsa banjir,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Simpang Lima, Sungai Besar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti lokasi pembinaan PPK itu antaranya di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Johor dan Perak.

Urusan projek itu memasuki peringkat tender dengan Sabah dan Sarawak dikendalikan kerajaan negeri manakala negeri lain oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Pembinaan PPK itu dijangka mengambil masa sehingga 15 bulan untuk dibina dengan kos dianggarkan menelan belanja sehingga RM5 juta sebuah.

Nadma telah melengkapkan kerja mengubah suai sebuah dewan di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor sebagai PPK yang dilengkapi tandas dan dapat menempatkan 400 mangsa banjir berbanding 190 orang sebelum ini.

Tambah Ahmad Zahid, PPK yang akan disediakan satu di setiap negeri berisiko tinggi banjir itu mampu mengurangkan kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung kerajaan ketika pasca bencana. 

“Sekolah-sekolah yang dijadikan PPS terjejas apabila kelas terpaksa diperbaiki semula dan ada juga sekolah tidak mempunyai dewan. Penyediaan PPK yang sedang berjalan itu akan dilaksanakan sepenuhnya di bawah penyelarasan Nadma,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, projek JALB itu melibatkan usaha menaiktaraf Jalan Nipah, Tali Air 13 dan Peket 100 Daerah Sabak Bernam sepanjang 8.1 kilometer (km).

“Projek ini membawa penjimatan dengan dengan kos sebenar RM17.7 juta berbanding peruntukan yang diluluskan sebanyak RM18.1 juta. Ini bermakna, dengan kecekapan semua pihak memantau dan menyelia projek ini, wang kerajaan berjaya dijimatkan sebanyak RM400,000,” katanya.

Projek naik taraf jalan terlibat bermula daripada Jalan Negeri B110 Jalan Terusan Utama bersambungan dengan Jalan Persekutuan FT005 yang mana boleh terus ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE). 

Jalan yang dinaik taraf ini juga boleh menghubungkan ke Pekan Sekinchan, Pasir Panjang, Sungai Besar dan Sabak Bernam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN