KUALA PILAH: Lebih 50 ekor ternakan kambing milik seorang ketua kampung mati akibat lemas dalam kejadian banjir di Kampung Air Taling, di sini, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Geduhum, Amir Mohd. Talib berkata, air banjir naik melebihi dua meter dan dia tidak sempat menyelamatkan kambingnya yang berada di kendang.
Bekas polis tersebut berkata, ketika kejadian banjir berlaku, dia terlebih dahulu keluar dari rumah bagi menyelamatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai.
“Kawasan ini apabila sudah ditenggalami memang tidak boleh balik semula dan saya duduk di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan dua hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Sewaktu ke kendang sebahagian besar kambing sudah mati dan dengan bantuan keluarga dan penduduk kampung, kami tanam haiwan berkenaan.
“Kini hanya lapan ekor kambing sahaja masih hidup dalam kejadian banjir tempoh hari,” katanya yang menyatakan banjir ini paling teruk pernah berlaku di kampung berkenaan yang turut mengakibatkan barangan dalam rumahnya rosak termasuk dua kenderaannya tenggelam dalam banjir.
Amir ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana Pascabanjir bersama Agensi Bencana Daerah Kuala Pilah di sini, semalam.
Lebih 200 individu terdiri daripada pasukan penyelamat dan agensi setempat membantu membersihkan kediaman penduduk di beberapa buah perkampungan terjejas.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, Pegawai Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden, Shamrol Shah Ramli.-UTUSAN