KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak jongkong emas bernilai lebih setengah juta daripada seorang lelaki warga Bangladesh, November lalu.
Koperal Muhammad Arieff Marhalim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak jongkong emas seberat 1,499.81 gram bernilai RM580,345.26, wang tunai RM7,000 dan sebuah telefon bimbit jenama Redmi Note 13 milik mangsa, Robin Miah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pudu, Dang Wangi di sini di antara pukul 12.25 tengah hari dan 3.15 petang, 26 November lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Bagaimanapun, peguam bela, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon pengurangan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya masih lagi berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mempunyai tanggungan keluarga.
“Dimohon mahkamah mengenakan hukuman rendah terhadap tertuduh memandangkan dia masih bekerja dan perlu menanggung tiga orang anak,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 22 Januari hadapan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN