Ada elemen pengejaran antara kereta dan motosikal

Ada elemen pengejaran antara kereta dan motosikal

MOHD. Nazri Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam bagi menghadiri perbicaraan. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai polis menyifatkan kejadian perlanggaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dengan motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, sebagai luar biasa.

Ini kerana, jelas Inspektor Jong Pit Chao, 37, terdapat elemen pengejaran antara kereta tersebut dengan motosikal mangsa sebelum perlanggaran berlaku.

Malah saksi pendakwaan ke-29 itu memberitahu, kedua-dua kenderaan juga tiada di lokasi perlanggaran ketika dia tiba di tempat kejadian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dari mula saya terima maklumat mengatakan berlaku perlanggaran berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati melibatkan kereta dan motosikal.

“Menurut saksi awam, motosikal itu telah memperlahankan kelajuan dan kereta Perodua Ativa yang mengekori telah langgar motosikal tersebut.

“Maksudnya, ini merupakan satu kejadian luar biasa di mana wujudnya kejadian mengejar antara kereta Ativa dan motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini.

Terdahulu, Pit Chao berkata, berdasarkan keterangan secara lisan oleh saksi awam, kejadian bermula dengan mangsa yang menunggang motosikal telah membuat bunyi bising ekzos.

Ujarnya, saksi awam memaklumkan kepadanya sebuah kereta Perodua Ativa telah datang dari arah SMK Jati dan mengejar mangsa sebelum kedua-dua kenderaan itu berpatah balik ke lokasi kejadian.

Pit Chao adalah pegawai penyiasat trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang bertugas pada hari kejadian insiden pelanggaran itu berlaku.

Sementara itu, menjawab soalan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengenai skop siasatan yang mengambil kira kemungkinan wujud elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedangkan siasatan masih di peringkat awal, Pit Chao berkata, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak semestinya menjurus mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Apabila satu kertas siasatan dibuka, perlu ada satu klasifikasi kes untuk memulakan siasatan. Bagi kes ini, berdasarkan laporan maklumat awal adalah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Tapi siasatan perlu menyeluruh, tidak semestinya menjurus kepada Seksyen 41(1) APJ 1987. Pihak polis perlu menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek,” katanya.

Selain itu, saksi berkenaan mengakui telah memadamkan dua rakaman kejadian itu yang diperolehi daripada seorang pemandu wanita kenderaan Mitsubishi Triton yang meletakkan kenderaan di lokasi kejadian ketika perlanggaran berlaku.

Beliau bertindak sedemikian kerana bukan lagi pegawai penyiasat kes setelah kertas siasatan diserahkan kepada ASP Chua Sze Chuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini