CYBERJAYA: Sejumlah 203,123 pembayar cukai dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 30 November lalu.
Jumlah itu meliputi 175,656 kes di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan sebanyak 12,206 kes di bawah Seksyen 22 ACKHT 1976 melibatkan kes individu.
Menurut LHDN, sebanyak 15,070 adalah melibatkan syarikat di bawah Seksyen 75A Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976 dan 192 kes pula di bawah Sek 22 Subperenggan 5(1A) ACKHT 1976.
“Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadah, semua pembayar cukai disaran terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.
“Menurut Seksyen 104 dan 75A ACP 1967, dan Seksyen 22 ACKHT 1976, LHDN diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LHDN memaklumkan, sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yangtertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan.
Katanya, status tunggakan cukai masing-masing boleh disemak terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/, manakala semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh disemak melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
“Mulai 4 Mac lalu, permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pekhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses menerusi portal MyTax.
Jelasnya, permohonan juga boleh dibuat dengan menghubungi HASiL Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat HASiL berhampiran.
“Tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka tetapi salah satu usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.
“Oleh itu, pembayar cukai perlu sentiasa peka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka setiap masa dan jangan bertangguh dalam menyelesaikan hal-hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN