BATU KAWAN : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak bercadang melanjutkan tawaran untuk Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang telah berakhir pada 30 November lalu.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, hal ini demikian kerana, hanya sekitar 1,400 penjawat awam sahaja yang tidak menandatangani opsyen terbabit.
Katanya, jumlah itu dilihat agak kecil daripada keseluruhan 1.5 juta penjawat awam pada ketika ini, malah, beliau menyifatkan ia adalah perkara biasa berikutan penjawam awam diyakini telah melakukan pertimbangan dengan sewajarnya.
“Dalam hal ini (penjawat awam yang tidak memilih SSPA), kita tidak ada paksaan kerana percaya ada pertimbangan khusus yang dibuat oleh mereka. Tetapi, kerajaan sentiasa melakukan sesi libat urus bagi mereka yang tidak memilih (opsyen ini) supaya tidak menyesal di kemudian hari.
“Selepas tempoh (tawaran) berakhir pada 30 November lalu, didapati yang tidak menandatangani SSPA ini hanya 0.13 peratus iaitu sekitar 1,400 sahaja daripada 1.5 juta penjawat awam di mana mereka ini terdiri daripada kalangan kumpulan pengurusan, pelaksana serta profesional.
“Justeru, kita tidak akan melanjutkan atau membuka semula tawaran itu sekiranya ada penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen berkenaan secara tiba-tiba terbuka hati mahu memilih skim terbabit,”katanya ketika menghadiri Majlis Penutup Kampung Angkat Madani JPA di Pulau Aman, di sini, hari ini.
Tambah Wan Ahmad Dahlan, perkara terbabit juga telah dilaporkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat jawatan kuasa kabinet, baru-baru ini dan Anwar gembira dengan pencapaian tersebut serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan yang telah melaksanakan program SSPA ini dengan baik.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pegawai awam mempunyai tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November untuk memilih sama ada SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Melalui pelaksanaan SSPA, kerajaan bersetuju meningkatkan Gaji Permulaan Terendah (GPT) kepada RM1,500 dengan kelayakan masuk ke perkhidmatan awam minimum di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ketimbang RM1,200 berkuat kuasa sejak Julai 2016 dengan kelayakan masuk di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Pemberian pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu 8.0 peratus atau minimum RM240 pada Fasa 1 mulai 1 Disember nanti 7.0 peratus bagi Fasa 2 pada 1 Januari 2026.
Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, pemberian pelarasan gaji sebanyak 7.0 peratus dengan pecahan 4.0 peratus bagi Fasa 1 bermula pada 1 Disember ini dan 3.0 peratus dilaksanakan pada 1 Januari 2026.