KUALA LUMPUR: YTL Communications Sdn. Bhd. berada di kedudukan tercorot dalam senarai syarikat bagi projek menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, syarikat berkenaan sebelum ini menerima sebanyak 51 menara di bawah JENDELA fasa satu dan semuanya belum beroperasi.
“Maksudnya, YTL yang paling corot. Minta maaf, saya terpaksa sebut di sini. Daripada 51 menara diterima, semua 51 tidak siap.
“Jadi, saya sudah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti menara yang menghadapi kelewatan itu,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Terdahulu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) meminta kementerian menjelaskan status pelaksanaan projek menara telekomunikasi di bawah JENDELA dan tindakan terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek mengikut tempoh masa ditetapkan.
Fahmi berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap kontraktor yang gagal.
Katanya, penalti boleh dikenakan mengikut notis pemberitahuan penamaan kepada pembina menara atas kegagalan menyiapkan menara dalam tempoh ditetapkan.
“Antara penalti itu adalah ganti rugi, mengambil bon prestasi, penolakan tuntutan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Mulitmedia.
“Pada masa ini, tindakan yang sedang dipertimbangkan adalah menuntut ganti rugi,” katanya.
Sehingga Oktober lalu, sebanyak 1,385 daripada 1,661 menara JENDELA berjaya disiapkan dan daripada jumlah itu, hanya 808 menara sudah beroperasi.
Katanya, CelcomDigi menerima 866 menara dan 366 masih dalam pelaksanaan manakala 193 menara sudah lebih sembilan bulan siap, namun belum beroperasi.
“Umobile pula 143 menara siap dan 19 dalam pelaksanaan manakala dua melebihi tempoh sasaran sembilan bulan,” katanya. – UTUSAN









