KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk murid tahun satu bermula 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, murid sekolah rendah akan diperkenalkan dengan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
“Seterusnya bagi murid tahun lima dan tahun enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.
“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang,” katanya menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) di Dewan Rakyat semalam.
Kah Woh berkata, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.
“Kementerian yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat tingkatan tiga,” katanya. – UTUSAN










