KUALA LUMPUR: Kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini diserbu polis pada kira-kira pukul 10.18 malam tadi menerusi Op Noda KL Strike Force oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak tujuh wanita warga asing disyaki pelacur ditahan terdiri daripada lima warga Indonesia dan masing-masing seorang warga Thailand dan Vietnam berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Antara barangan dirampas ialah 15 keping kondom, tujuh helai tuala mandi, telefon bimbit (10), tisu basah (1), gel pelincir (3) dan dua kad akses.
“Hasil siasatan awal mendapati semua wanita warga asing berkenaan mengaku bekerja sebagai pelacur.
“Pelanggan perlu melayari laman web untuk memilih dan kemudian menghubungi nombor telefon untuk membuat tempahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelanggan kemudian akan diberikan nombor bilik dan bayaran dibuat kepada pelacur selepas selesai perkhidmatan.
Jelasnya, setiap pelanggan perlu membayar RM250 untuk setiap satu perkhidmatan.
“Semua pelacur berkenaan tinggal di dalam bilik hotel dan daripada bayaran RM250, wanita itu akan menerima RM120, manakala baki RM130 diberikan kepada penjaga.
“Kegiatan itu beroperasi dari 12 tengah malam hingga 4 pagi setiap hari,” katanya.
Kesemua tahanan dan barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. – UTUSAN