SHAH ALAM: Tiada berlaku pergolakan atau perpecahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ia disifatkan hanya ‘cakap-cakap’ segelintir pihak.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kepimpinan parti itu masih terus utuh selepas sesi pemilihan selesai dijalankan pada Oktober lalu.
Menurut Ketua Pembangkang itu, perkara berkenaan dapat dilihat menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terakhir tahun ini yang berlangsung semalam.
“Siapa kata kita berpecah sedangkan sesi pemilihan dijalankan dalam keadaan aman damai. Semua itu hanya ‘soksek’ (cakap-cakap) kononnya Bersatu sedang berkocak.
“Itu perkara biasa dalam sesebuah parti malah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kini Naib Presiden) juga hadir memberi sokongan kepada saya yang menjadi Timbalan Presiden pada hari pertama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Perhimpunan kali ketujuh itu dihadiri barisan kepimpinan parti dan lebih 2,000 perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu.
Hamzah berkata, semua sayap parti dan akar umbi diminta meneruskan perjuangan dengan ikhlas dan tidak merebut jawatan semata-mata. –UTUSAN