GEORGE TOWN: Suspek yang menikam dua beranak sehingga mati menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam semalam, kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, ketika ini, suspek sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Suspek direman bermula hari ini sehingga 14 November bagi membantu siasatan. Suspek masih hidup dan dalam keadaan stabil. Berita yang mendakwa bahawa suspek telah meninggal dunia adalah berita palsu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 petang semalam, seorang bapa dan anak perempuannya masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek.
Suspek kemudiannya bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri selepas membunuh dua beranak itu.
Dalam pada itu, menurut seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HPP, suspek yang menikam dua beranak sehingga mati itu merupakan saudara jauh kepada mangsa.
Katanya, suspek didakwa sering datang ke rumah mangsa dan perhubungan mereka hanya berdasarkan kepada hubungan kekeluargaan sahaja.
“Suspek ada ‘bau-bau bacang’ dengan mangsa dan ayahnya. Suspek dipercayai berasal dari Karangan, Kulim.
“Suspek dikatakan kenal dengan mangsa dan bapanya selain dipercayai menaruh perasaan kepada mangsa wanita itu, namun, mangsa tidak mempunyai perasaan terhadap suspek. Suspek juga dikatakan tahu akan rutin harian mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, proses bedah siasat jenazah wanita itu difahamkan telah selesai dijalankan, manakala proses bedah siasat jenazah bapanya pula masih belum dijalankan.
Jenazah dua beranak itu dijangka disolatkan di Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong, petang ini. – UTUSAN










