KOTA BHARU: Pihak berwajib perlu menyediakan jalan atau program alternatif dalam usaha membendung gejala remaja di negeri ini mencari hiburan di Golok, Thailand seperti didedahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat.
Imam Besar negeri, Dr. Muhammad Hana Pizi Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk meneliti punca remaja tempatan mencari hiburan di negara Gajah Putih itu kerana ia berada di luar bidang kuasa institusi keagamaan.
“Saya tidak boleh mengulas kenapa anak muda kita mencari hiburan di Golok, tambahan kita tiada sebarang rekod berkaitan isu itu. Ia adalah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pentadbir negeri.
“Cuma di peringkat masjid dan institusi keagamaan, kita cuba sediakan alternatif untuk mengelakkan anak muda terbabit dalam gejala sebegitu,” katanya selepas Majlis Graduasi Kembara Al-Quran Siri 2 Masjid Jamek Tengku Muhammad Faris Petra 2023/2024, Tunjong, di sini semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, golongan muda negeri ini gemar ke kelab malam di Golok untuk berhibur setiap kali hujung minggu iaitu pada malam Jumaat dan Sabtu.
Kebanjiran golongan itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka perlu menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kawasan tersebut dan kemudian berhibur.
Muhammad Hana Pizi berkata, peranan yang dimainkan di peringkat masjid dan institusi keagaman juga dianggap sebagai satu tanggungjawab untuk mendidik anak-anak muda.
Katanya, sejak akhir-akhir ini sudah banyak program anak muda dianjurkan di masjid-masjid sekitar negeri ini seperti Masjid Jamek Tengku Muhammad Faris Petra yang menubuhkan pasukan futsal.
“Harapannya dengan program-program yang dirangka, anak muda lebih tertarik ke masjid berbanding menyeberang ke Golok untuk berhibur.
“Banyak program dirangka untuk anak muda seperti Program Remaja Masjid atau Ikhwan Masjid terutama di masjid-masjid jamek sekitar Kelantan. Pelbagai pengisian kita sediakan daripada ilmiah sehinggalah ke program rekreasi dan sukan.
“Kita juga bakal menggabungkan semua masjid di negeri ini untuk mengadakan Himpunan Remaja Masjid dalam masa terdekat, iaitu pada 13 November ini,” katanya. – UTUSAN










