PUTRAJAYA: Sebarang penyebaran ajaran sesat melalui platform media sosial boleh didakwa selepas pindaan terhadap Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] dilaksanakan.
Pindaan akta-akta itu akan dibuat oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) berhubungan dengan kesalahan jenayah syariah yang dilakukan secara dalam talian atau diterbitkan secara elektronik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, proses pindaan ini melibatkan pihak lain seperti Jabatan Peguam Negara, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Ini termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), iaitu sebuah Jawatankuasa di bawah MKI bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.
“Keputusan MKI kali ke-122 dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang Ke-266 pada Julai lalu dan pihak Muzakarah berpandangan bahawa apa-apa kesalahan jenayah syariah yang diterbitkan secara elektronik merupakan kesalahan di sisi hukum syarak.
“Ia boleh diambil tindakan undang-undang terhadap pelakunya berdasarkan tempat di mana kesalahan jenayah syariah itu dilihat, didengar atau dibaca oleh mana-mana orang dan tanpa mengambil kira kesalahan jenayah syariah tersebut dilakukan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau baru-baru ini.
Mohd. Na’im berkata, pindaan akta itu juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan (JPIK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapat pertimbangan dan kelulusan.
Sebelum dibentangkan di Parlimen, jelasnya, ia akan dikemukakan kepada Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara untuk semakan.
“Cabaran sekarang apabila mereka (penyebar ajaran sesat) ini tidak membuat secara nyata tetapi dalam talian seperti Si Hulk yang dilakukan di New Zealand dan Australia.
“Sebab itu saya arahkan supaya Jabatan pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan untuk kemukakan satu pandangan dan cadangan supaya Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan ini dipinda bagi membolehkan sebaran dan ajaran sesat melalui dalam talian juga menjadi satu kesalahan.
“Akta yang lama hanya terpakai bagi ajaran yang dilakukan secara fizikal. Insya-Allah cadangan ini sudah sampai ke peringkat MKI yang telah meluluskan pindaan yang dibuat. Sekarang ni dalam tindakan untuk dibawa ke mesyuarat JPIK untuk kelulusan dan pertimbangan sebelum dihantar kepada Bahagian Gubalan, Jabatan peguam Negara,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im memberitahu, hampir 20 ajaran sesat sedang dipantau Jakim termasuk ajaran-ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam seperti Syiah dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim.
Beliau berkata, pemantauan ini mengambil kira kebersamaan dengan pihak berkuasa agama negeri dan polis Diraja Malaysia (PDRM) serta lain-lain agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia.
Pada masa sama, kata beliau, platform Jawatankuasa Pemandu Menangani Ancaman Akidah Peringkat Kebangsaan (JAPAS) akan diperkasakan di peringkat negeri-negeri.
“Langkah ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kerja yang akan bertindak terus di peringkat negeri bagi memastikan ajaran sesat dibanteras dengan segera,” katanya.
Pada 14 November lalu, Jawatankuasa MKI memutuskan ajaran yang dibawa Nasiruddin Mohd. Ali daripada syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat MKI Kali ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang dikemukakan oleh penyelidik.
Mohd. Na’im berkata, isu berkaitan GISBH ini perlu melalui beberapa penelitian, pengumpulan bukti dan maklumat sahih bagi pembuktian sebarang kesalahan
Katanya, ia bukannya soal kelewatan penguatkuasaan, tetapi proses pemantauan dan pembuktian yang memerlukan langkah langkah yang komprehensif serta kukuh untuk memastikan tindakan yang diambil adalah adil dan berasas.
Beliau menjelaskan, gerak kerjasama juga perlu melibatkan pihak berkuasa agama di negeri, PDRM serta dapatan-dapatan penyelidik yang berkongsi maklumat bagi tujuan pandangan hukum yang kemudiannya dikemukakan kepada MKI dihadiri para mufti dari 14 buah negeri.
“Berdasarkan kepada dua fatwa sebelum ini yang pernah dikeluarkan pada tahun 1994 (al-Arqam) dan 2006 (Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd.), tindakan masih boleh dibuat ke atas mereka mengambil kira ciri-ciri penyelewengan yang disebutkan di dalam fatwa tersebut menyamai apa yang diamalkan oleh ahli GISBH.
“Walau bagaimanapun fatwa dengan penambahbaikan sighah diperlukan berikutan terdapat beberapa elemen yang dikenal pasti hasil siasatan pihak PDRM terutama mengenai aktiviti ekonomi maásh yang berlaku dalam GISBH,” katanya. – UTUSAN










