Projek tukun tiruan perkukuh sumber perikanan negara

Projek tukun tiruan perkukuh sumber perikanan negara

ADNAN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan berjaya melaksanakan projek tukun tiruan dalam usaha memperkukuh pemuliharaan sumber perikanan negara dan menyokong keterjaminan makanan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, sejumlah RM2.4 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan 74 unit tukun tiruan yang dilabuhkan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara mengikut negeri pada tahun 2024 iaitu Kedah (14 unit), Perak (12 unit), Melaka (12 unit), Pahang (11 unit), Terengganu (13 unit) dan Kelantan (12 unit).

Kata beliau, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Sains Marin Asia Tenggara (ISMAT) pada tahun 2020, sebanyak 129 kilogram (kg) sehingga 6,047 kg biomass ikan direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi ikan komersil berjumlah RM84,759.60.

“Secara keseluruhan, nilai ekonomi daripada 74 tukun tiruan dianggarkan mencecah RM6.2 juta.

“Ini menunjukkan potensi perikanan melalui pelaksanaan projek tukun tiruan dalam menyokong keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, DOF berharap dengan pelaksanaan projek tukun tiruan ini, ia bakal memberikan impak positif terhadap pemuliharaan sumber perikanan dan pembangunan sosioekonomi nelayan setempat.

Jelas beliau, tukun tiruan ini bukan sahaja berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies marin tetapi juga sebagai kawasan pembiakan dan pembesaran ikan, di samping menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan.

“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memastikan kelestarian ekosistem marin dan sumber perikanan negara.

“DOF akan terus komited untuk terus melabuhkan, memantau dan menilai keberkesanan tukun tiruan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN