KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu patut ditangkap dan dihukum gantung oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana pemimpin itu seorang penjenayah perang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Netanyahu patut ditangkap segera kerana tindakannya terus menerus membunuh orang Islam di Palestin.
“This is the war criminal. Dia (Netanyahu) seorang penjenayah. Dia nak teruskan pembunuhan manusia (rakyat Palestin). Pembunuhan satu orang pun sudah jenayah. Dia telah membunuh 44,000 orang Islam.
“Dia penjenayah besar yang patut dihukum gantung,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucap utama Persidangan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan ICC pada Khamis lalu yang mengumumkan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Selain Netanyahu, waran tangkap turut dikeluarkan terhadap bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.
Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.
Ditanya mengenai keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menentang keputusan dikeluarkan ICC itu, Mahathir berkata, keputusan AS itu tidak mengejutkan kerana ‘White House’ dikuasai orang Yahudi dan dasar negara itu menjadi pengikut kepada Israel.
“Amerika ini dikuasai orang Yahudi, dasar mereka ialah jadi ‘pak turut’ pada Israel, walaupun mereka tahu apa yang dilakukan Israel itu adalah satu jenayah besar, tetapi Amerika masih lagi menyokong Israel,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditemui pada persidangan itu berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu.
“Itu satu keputusan yang diterima masyarakat antarabangsa, namun sebaliknya berlaku apabila Amerika Syarikat mengunakan kuasa veto.
“Amerika Syarikat ini luar kemanusiaan, dipengaruh oleh Zionis dan siapa nak menang Presiden Amerika mesti paling kuat sokong Zionis barulah menang presiden,” katanya.- UTUSAN