SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk meneruskan tanggungjawabnya selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga parti itu berjaya bertapak semula di Putrajaya melalui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau dan seluruh anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mempunyai kerja serta tugas yang besar menanti untuk tahun-tahun mendatang.
Kata beliau, dirinya akan menjalankan tanggungjawab selaku Presiden dan membawa mandat ahli-ahli Bersatu dan akar umbi yang diterima sebulat suara dam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023.
“Oleh itu, jangan kita diadu-domba. Jangan kita di laga-laga, jangan ada yang kerjanya cucuk sana cucuk sini.
“Kononnya ada kem itu dan kem ini, ada kumpulan itu serta kumpulan ini yang akan melemah dan memecahkan kita. Ini semua karut. Saya tidak akan sekali-kali membenarkan perkara karut ini dalam parti kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini.
Perhimpunan kali ketujuh itu dihadiri barisan kepemimpinan parti dan lebih 2,000 perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu.
Dalam pada itu, tanpa menyatakan secara khusus, Muhyiddin berkata, parti di dalam Kerajaan Perpaduan tidak lagi boleh diharap untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara selagi mana memilih untuk bersama dengan parti-parti yang saling bertentangan dengan matlamat perjuangan.
“Walaupun mereka tidur sebantal, mimpinya lain-lain,” jelasnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Bersatu hanya mempunyai satu pilihan sahaja iaitu menawan Putrajaya dalam PRU16.
“Inilah satu-satunya pilihan yang kita ada untuk menyelamatkan bangsa dan negara kita. Inilah harapan akar umbi BERSATU dan seluruh rakyat yang menyokong kita di luar sana,” ujarnya. – UTUSAN











