Malaysia cadang singkir Israel dari PBB

Malaysia cadang singkir Israel dari PBB

Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan Israel ‘ditendang’ keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana negara ‘haram’ tersebut terus melanggar peraturan dunia dan hak asasi manusia melalui kekejaman yang dilakukan ke atas Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini sudah menyertai kum­pulan teras bagi penyediaan satu draf resolusi Perhim­punan Agung (PBB) untuk memohon pendapat nasihat dari Ma­hkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kata beliau, ia mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB, agensi-agensi di bawahnya, organisasi-organisasi antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT).

“Draf resolusi ini sedang dalam proses rundingan dan dijangka dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.

“Setelah diluluskan kelak, resolusi tersebut dijangkakan menjadi landasan perundangan bagi membolehkan Agensi Bantuan dan Kerja Untuk Pelarian Palestin Di Asia Barat (UNRWA) terus memberikan khidmat asas.

“(Antaranya) seperti pendi­dikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, yang te­lah memberikan faedah kepada lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria,” kata­nya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Penerangan Menteri Berhubung Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam berkenaan isu Palestin di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November ini.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, sudah 75 tahun UNRWA menjadi tali hayat utama kepada rakyat Palestin dalam pe­nyaluran bantuan antarabangsa.

Peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia, di mana sejumlah AS$1 juta dolar sudah disumbangkan kepada UNRWA bagi tempoh tahun 2021 hingga 2025, iaitu sebanyak AS$200,000 setiap tahun.

“Berikutan konflik yang memuncak sejak Oktober 2023, Malaysia juga telah menyumbang bantuan kewangan tambahan berjumlah AS$5.2 juta kepada UNRWA untuk meringankan beban dan membantu mangsa-mangsa kekejaman Israel.

“Bagaimanapun, kedudukan kewangan UNRWA masih berada dalam keadaan defisit sebanyak AS$80 juta,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar memaklumkan sehingga 1 November lalu, Israel sudah mengorbankan 43,204 rakyat Palestin termasuk 16,500 kanak-kanak dan 1,200 rakyatnya sendiri melalui tindakan jenayah perang mereka iaitu genosid.

“Sebanyak 101,641 rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala 11,000 orang lagi dilaporkan hilang. Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN