TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan di sebuah kampung di Kalabakan semalam kerana disyaki merogol anak tirinya sejak empat tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan pada pukul 12.30 tengah hari di kampung berkenaan.
Beliau berkata, lelaki tersebut disyaki merogol anak tirinya berumur 15 tahun di sebuah perkampungan di Kalabakan.
“Perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya sebelum tampil membuat laporan polis.
“Mangsa sebelum itu mengadu sakit perut dan telah dihantar ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, pagi Selasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa berusia 11 tahun sehingga bulan lalu di rumah mereka,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.-UTUSAN