Kerajaan usaha wujudkan saluran kedua 5G di luar bandar

Kerajaan usaha wujudkan saluran kedua 5G di luar bandar

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kerajaan dalam usaha mewujudkan saluran kedua rangkaian 5G di setiap kawasan luar bandar bagi meningkatkan akses kepada teknologi komunikasi terutama untuk pelajar dan usahawan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu menjadi sebahagian daripada Belanjawan 2025 yang dirancang bagi mencapai sasaran pembangunan luar bandar dengan pendekatan telus.

Kata beliau, langkah ini menumpukan kepada kawasan yang berpendudukan rendah dengan harapan dapat memperbaiki liputan internet.

“Kita akan meminta Kementerian Digital menggunakan pendekatan kawasan yang tidak berpendudukan tinggi untuk diliputi sistem 5G.

“Kerajaan sedang dalam usaha mewujudkan saluran kedua rangkaian 5G agar kawasan di luar bandar dapat liputan terutama bagi keperluan para pelajar dan murid sekolah.

“Kemudahan ini juga penting untuk para usahawan yang memulakan perniagaan dalam talian yang sangat memerlukan liputan komunikasi.

“Saya berharap dengan penambahan peruntukan Belanjawan 2025, perkara ini dapat dilakukan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutip Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani Tahun 2024 di Hotel Tenera, di sini hari ini.

Konvensyen tersebut dihadiri seramai 1,200 orang yang mewakili Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dari seluruh Malaysia.

Objektif utama pelaksanaan konvensyen itu adalah sebagai wadah dan medan interaktif peringkat nasional yang memberi ruang kepada pengurusan tertinggi kementerian dan kepemimpinan negara untuk berinteraksi secara terus dengan pemimpin akar umbi dan masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta data-data penduduk kampung dikemas kini dengan lebih terperinci supaya bantuan dapat ditumpukan kepada kumpulan sasaran.

“Kita mempunyai data pembangunan yang lengkap mengenai penduduk kampung tapi tidak dikemas kini secara terperinci seperti pekerjaan anak-anak walaupun mereka beralamat di situ tetapi sebenarnya telah berhijrah atau melanjutkan pelajaran.

“Data-data ini kita akan buat melalui sistem geopolitik dan geoekonomi yang merangkul semua maklumat dan ia akan dapat menembusi semua maklumat diperlukan bagi menyampaikan apa juga maklumat supaya sebarang bantuan dapat ditumpukan kepada kumpulan sasaran di luar bandar ini.

“Pendekatan saya, jangan pilih hanya adik-beradik, keluarga dan kawan rapat sedangkan mereka yang memerlukan tidak disantuni,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu mestilah menyantuni mereka yang benar-benar memerlukan bantaun dan yang layak untuk mendapat bantuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN