Kerabat diraja Pahang didakwa

Kerabat diraja Pahang didakwa

KERABAT diraja Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd. Rahman (tengah) bersama empat lagi lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang individu menggunakan pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda Jalan Teluk Sisek pada Jun lepas di Mahkamah Majistret Kuantan, semalam. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang kerabat Pahang antara lima lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, di sini semalam atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pada Jun lalu.

Tertuduh, Tengku Eddie Akasya Tengku Abd. Rahman, 20, dan empat yang lain iaitu Nik Norisham Affendi NiK Mohd Zani, 39; Mohd. Fouzi Md, Nur, 44; Mohd Taufik Daud, 32, serta Khairul Azhar Rosli, 38, membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan di bahagian paha kanan mangsa.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di kawasan lot tanah bangsal kuda di Jalan Teluk Sisek di sini, dalam kejadian 12.20 pagi, 6 Jun lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara selama tempoh maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Negeri, Sharizat Ismail, Noor Aishah Mohd. Amin dan Deevagaran Naidu Baskaran.

Empat tertuduh masing-masing diwakili empat peguam yang diketuai peguam Y. Sheelan Samugam manakala seorang tertuduh yang merupakan anggota polis diwakili peguam Mohamed Badruzzaman Abu Bakar.

Pada prosiding itu, Shahrizat menawarkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh, dengan mencadangkan syarat tambahan kesemua mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam, Y. Sheelan memohon jaminan minima dikenakan dalam lingkungan RM5,000 terhadap anak guamnya, Nik Norhisham Affendi dan Khairul Azhar yang bekerja sebagai penternak lembu, manakala Mohd. Taufiq pekerja kontrak dan Tengku Eddie Akasya yang masih ditanggung ibu bapa.

Peguam Mohammed Badrulzzaman yang mewakili anggota polis Mohd. Fouzi turut memohon jaminan rendah terhadap anak guamnya yang menyara isteri dan anak yang bersekolah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan wang jaminan RM7,000 setiap seorang di samping kesemua tertuduh perlu melaporkan diri setiap bukan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) setiap bulan serta tidak dibenarkan mengacau ganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 11 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan, seorang pekerja pembinaan, Alias Awang, 44, mendakwa dirinya dipukul dan diserang menggunakan pisau serta pistol oleh sekumpulan lelaki termasuk membabitkan seorang kerabat diraja Pahang dalam kejadian di sebuah kandang kuda, Jun lalu.

Kejadian terbabit tular dan mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kemudiannya menitahkan polis menyiasat kes tersebut dengan segera, telus, adil dan tegas tanpa kompromi mana-mana pihak.

Sementara itu, Alias sebelum ini memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa dia tidak tahu sama ada kes terbabit masih berjalan ataupun tidak.

“Memang tiada apa-apa perkembangan, panggilan daripada pihak polis pun tiada. Tak tahu sama ada kes masih berjalan atau tidak,” katanya.

Ujarnya, kali terakhir maklumat diperoleh adalah apabila polis memaklumkan kertas siasatan untuk kes berkenaan sedang dilengkapkan dan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, lebih mengecewakan apabila tidak ada perkembangan dan susulan diperoleh walaupun selepas kesnya diserang dengan senjata tajam dan pistol tular sehingga mendapat perhatian Tengku Hassanal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×