Keputusan rayuan pendakwaan kes rasuah Bung Moktar, isteri hari ini

Keputusan rayuan pendakwaan kes rasuah Bung Moktar, isteri hari ini

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan hari ini sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri­nya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad kekal bebas daripada tiga tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta.

Keputusan dijangka diumumkan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin pada pukul 9 pagi.

Bung Moktar dan isterinya kekal bebas daripada tuduhan itu jika mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan pendakwaan.

Bagaimanapun, sekiranya, ke­­putusan berpihak kepada pendakwaan, Bung Moktar perlu membela diri atas pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai do­rongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Zizie pula perlu membela diri atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan pasangan tersebut membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas men­dapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mereka pada mulanya dijadualkan untuk membela diri pada Julai 2023.

Bagaimanapun pada 7 September 2023, Bung Moktar dan Zizie Izetter dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan berkaitan rasuah itu setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah seba­nyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×