SHAH ALAM: Meskipun menempuh pelbagai cabaran, seorang mahasiswi berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan di Konvokesyen Ke-100 UiTM.
Pelajar Program Jarak Jauh (ePJJ), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Ain Sazali, 30, berkata sepanjang pengajian, beliau melalui fasa keguguran kandungan, penceraian, masalah kewangan, dan tanggungjawab menjaga adik yang menghidap sindrom down.
Katanya, beliau ambil masa tujuh tahun menghabiskan ijazah yang sepatutnya empat tahun setengah kerana masalah peribadi dan kewangan.
“Saya pernah gugurkan beberapa subjek serta mengambil hanya dua hingga tiga subjek setiap semester kerana kekangan kewangan.
“Saya mula belajar pada 2016, berkahwin pada 2019, dan mengalami keguguran sebanyak dua kali, termasuk ketika mengandung empat bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kerja berat.
“Jadi, lebih 10 kali saya berniat nak berhenti belajar, termasuk pernah isi borang tarik diri semasa semester akhir tapi saya tak serahkan pun,” katanya.
Sebagai anak sulung daripada enam beradik, cabarannya bermula apabila ibunya meninggal dunia dua minggu sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memberi kesan kepada keputusan peperiksaannya.
Mengulas lanjut, Ain berkata, ibunya meninggal akibat komplikasi kanser serviks pada 2009, dan sering menasihati supaya belajar tinggi dan menjaga adiknya dengan baik.
“Saya tak layak sambung diploma terus, jadi ambil pra-diploma di UiTM Lendu selama satu semester sebelum menyambung diploma sepenuh masa dalam Pengajian Perbankan.
“Setiap dua minggu, saya perlu ulang-alik dari Batu Pahat ke Kampus Pasir Gudang, dan pernah kemalangan akibat microsleep kerana keletihan.
“Saya juga bercerai semasa semester tujuh pada Jun 2022, seminggu sebelum peperiksaan akhir akibat kurang komunikasi dalam perkahwinan.
“Kami sibuk dengan komitmen masing-masing sehingga kurang masa bersama, dan akhirnya hubungan itu tidak dapat diteruskan,” katanya.
Tambahnya, Nur Ain berkata, beliau merasa sebak dan tidak percaya akhirnya dapat menamatkan pengajian setelah pelbagai cabaran hidup.
“Saya bercadang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana tetapi perlu menstabilkan kewangan dahulu selepas penceraian.
“Kini saya bekerja sebagai penolong penyelia di Watsons tapi sedang mohon kerja lebih baik dalam sektor kerajaan dengan kelulusan yang saya ada.
“Habiskan apa yang kita dah mulakan walaupun penuh liku, kerana pasti ada jalan untuk setiap cabaran,” ujarnya. – UTUSAN