KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia ke atas Israel perlu konsisten dan tidak retorik hanya semata-mata untuk meraih perhatian orang ramai serta hanya kerana ingin meraih sokongan politik sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian Malaysia tegas dan sentiasa konsisten.
Menurut beliau, tidak banyak negara di dunia yang sanggup mengambil keputusan seperti mana kerajaan lakukan.
Jelasnya, kerajaan sudah melakukan lebih daripada semasa Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara yang membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM (ZIM Integrated Shipping Services Ltd) berlabuh di Malaysia.
“Cuma sekarang ini ada bangkitkan soal syarikat. Puluhan malah ratusan syarikat ada kerjasama dagangan dengan Israel yang berdagang dengan semua negara termasuk Malaysia dan semua negeri termasuk negeri yang diperintah pembangkang.
“Berapa puluhan syarikat yang bertapak di semua negeri di Malaysia yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel. Jadi, keputusan itu harus keputusan yang tidak hanya retorik untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Penerangan Menteri Berhubung Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam berkenaan isu Palestin di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November ini.
Anwar menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang membangkitkan soal penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitkan dengan BlackRock Inc (BlackRock).
Mengulas lanjut, Anwar mendedahkan terdapat banyak negara lain yang memberi nasihat kepada Malaysia mengenai risiko selepas negara konsisten mengeluarkan kenyataan tegas terhadap kekejaman dilakukan oleh Israel.
“Pagi tadi saya berbincang dengan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) tentang kenyataan-kenyataan kita dan bagaimana menangani supaya Malaysia tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan sejarah, negara kuasa besar pun tidak segila dan sezalim rejim Israel.
“Jarang dalam sejarah kita lihat (ada negara) sanggup mengetepikan semua peraturan dunia, semua hukum dan undang-undang sehingga mengakibatkan risiko ke atas petugas-petuga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.
“Sebab itu atas inisiatif Poland, kita menyokong dan melakukan kenyataan bersama 33 buah negara (lain) yang mengutuk serangan (Israel di Lubnan) tetapi sementara itu tetap mempertahankan keperluan mengekalkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) untuk keselamatan rantau yang bertelagah selama ini,” jelasnya. – UTUSAN