PETALING JAYA: Sama ada seseorang itu mempunyai insurans perubatan atau tidak, semua caj yang dikenakan untuk pesakit di hospital swasta adalah sama rata.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, caj dikenakan mengikut tahap perkhidmatan yang diterima pesakit.
Justeru, beliau menafikan dakwaan kononnya golongan yang mempunyai insurans akan dicaj tinggi berbanding mereka yang tiada kemudahaan tersebut.

“Pertanyaan (di kaunter hospital swasta) tentang cara bayaran yang akan dibuat pesakit adalah disebabkan urusan pentadbiran hospital dan bukan untuk mengenakan caj yang tinggi.
“Kita tidak mahu nanti ada perkara berbangkit pula sebaik pesakit diminta membuat bayaran. Contohnya mempersoalkan bayaran (sendiri) sedangkan dia mempunyai insurans atau kad perubatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pihaknya akan memulakan inisiatif mengumpul maklumat atau aduan orang ramai mengenai caj hospital swasta dan insurans perubatan yang melambung tinggi.
Beliau dan ahli parlimen PKR yang lain meneliti segala aduan yang diterima untuk tindakan seterusnya dan memberi cadangan penyelesaian kepada kerajaan.
Tze Tzin dalam masa yang sama turut mempertikaikan kaedah pembayaran untuk pesakit yang akan dikenakan kadar caj dengan bersandarkan sama ada mempunyai insurans atau tidak.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Fuziah Salleh berkata, pengamal dan institusi perubatan swasta perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) termasuk caj perkhidmatan terhadap pesakit.
Beliau berkata, kadar caj perkhidmatan perubatan dikawal selia di bawah Peraturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 yang dibuat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Justeru tegasnya, institusi perubatan swasta tidak boleh mengenakan caj kepada pesakit secara sesuka hati.
“Jika tidak berpuas hati, aduan boleh dikemukakan ke Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN










