Hak Malaysia tidak sertai UNIFIL

Hak Malaysia tidak sertai UNIFIL

Syed Hamid Albar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai hak untuk tidak menghantar pasukan pengaman di bawah ketetapan Pasukan Inte­rim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, penghantaran pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan tidak tertakluk di bawah mana-mana undang-undang antarabangsa.

Katanya, penghantaran tentera Malaysia ke negara ber­kenaan juga dibuat atas dasar sukarela.

“Malaysia yang menawarkan dan bersetuju menjadi sebahagian daripada pasukan UNIFIL.

“Ia adalah tindakan yang baik dan sejajar dengan dasar luar Malaysia. Kalau Malaysia tidak mahu menghantar pasukan pengaman sekalipun, tidak ada tindakan boleh diambil ke atas negara. Bagaimanapun hanya menjejaskan nama dan imej negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berganjak dengan keputusan menghantar tentera pengaman Malbatt susulan insiden serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan, kelmarin yang mengakibatkan enam anggotanya cedera.

Sebagai rekod, penghantaran pasukan MALBATT di buat di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 bertujuan untuk menyelesaikan konflik Israel-Lubnan 2006 dan ia sebulat suara dipersetujui oleh Majlis Ke­selamatan PBB pada 11 Ogos 2006.

Menurutnya, pasukan tentera itu hanya berundur jika menerima arahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berbuat demikian.Justeru, anggota MALBATT 850 tetap berada di Lubnan sepertimana arahan sebelum ini.

Dalam pada itu, pakar geostrategi, Dr Azmi Hassan berkata, penghantaran pasukan pengaman dan langkah untuk meneruskan misi tersebut me­rupakan sebahagian daripada maruah negara.

“Tidak elok sekiranya Malaysia meninggalkan pasukan pengaman. Apatah lagi hanya kita menjadi negara tunggal yang tidak meneruskan misi berkenaan,” ujarnya.

Bagi Profesor Jabatan Hubu­ngan Antarabangsa Keselamatan dan Undang-undang Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, UNIFIL menjadi benteng terakhir di bawah PBB dalam isu melibatkan konflik di Lubnan.

“Seandainya PBB menarik diri, itu lambang kegagalan bagi mereka di sana,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN