PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan kehadiran pegawai penyiasat agensi itu di empat lokasi termasuk pejabat FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) semalam.
Beliau berkata, kehadiran pegawai SPRM di empat lokasi di Bangsar dan Putrajaya adalah bagi mendapatkan dokumen berkaitan susulan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta dalam FashionValet.
“Pegawai penyiasat kita juga mendapatkan penjelasan daripada pemilik baharu FashionValet dan difahamkan syarikat berkenaan telah diambil alih oleh pemegang saham baharu sejak Februari 2024.
“Setakat ini, kita belum panggil pemilik lama,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan empat lokasi diserbu serentak membabitkan pejabat Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah, PNB dan FashionValet.
Terdahulu, menerusi siaran di laman TikTok rasmi SPRM semalam, kelihatan sekumpulan pegawai SPRM berada dan memeriksa beberapa dokumen di FashionValet.
Turut kelihatan, dua individu dipercayai usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anua namun kedua-dua wajah mereka dimozekkan.
Siasatan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM.
Kelmarin, Azam mengesahkan pihaknya menyiasat kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB.
Siasatan itu penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.
Beliau memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata, rakyat membangkitkan persoalan mengenai kerugian itu hingga pelbagai kandungan berkaitan dimuat naik di media sosial.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023. – UTUSAN










