Bersatu ada hak saman Speaker Dewan Rakyat

Bersatu ada hak saman Speaker Dewan Rakyat

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tersebut.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, isu tersebut melibatkan tafsiran Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan undang-undang antilompat parti.

Beliau berkata, sebarang tafsiran berbeza sama ada oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker Dewan Undangan Negeri perlu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Tambah Muhammad Fathi, langkah Bersatu mengemukakan perkara ini ke mahkamah adalah wajar bagi mendapatkan keputusan yang jelas.

“Situasi tafsiran yang berbeza ini hanya boleh diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan kerana mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa terakhir dalam membuat tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan,” katanya.

Jumaat lalu, Bersatu mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.

Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee selaku plaintif melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Co.

Selain Johari, turut dinamakan sebagai defendan pertama sehingga keenam adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, Bersatu berpendapat lima wakil rakyat yang terlibat telah melanggar undang-undang antilompat parti yang sepatutnya menyebabkan kerusi mereka dikosongkan.

“Dalam hal ini, Bersatu menganggap tindakan wakil rakyat tersebut sebagai satu bentuk sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang jelas mencerminkan perubahan sokongan politik.
“Ia sekali gus ditafsirkan sebagai tindakan keluar parti, lebih-lebih lagi apabila pindaan perlembagaan parti telah dilakukan selepas insiden tersebut,” katanya.

Tambahnya, Mahkamah Persekutuan diharapkan dapat memberikan tafsiran yang jelas mengenai Perkara 49A khususnya berkenaan tindakan wakil rakyat yang menukar sokongan tanpa secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada parti.

Bagaimanapun, dalam konteks politik semasa, Muhammad Fathi berpendapat, kemelut tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada kestabilan kerajaan sedia ada.

“Kerajaan hari ini mempunyai sokongan majoriti yang besar. Sekiranya mahkamah memutuskan lima wakil rakyat itu tidak layak memegang jawatan, ia hanya akan menyebabkan kekosongan kerusi dan pilihan raya kecil di kawasan terlibat.

“Namun, perubahan sokongan ini tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan kerana majoriti yang dimiliki adalah kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×