SEPANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti sebanyak 2,159 kawasan kemungkinan berlaku bencana di seluruh negara dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Menurut Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed, daripada penemuan yang dilakukan, sebanyak 122 daripadanya adalah berkait hakisan tanah dan telah dilaporkan kepada agensi terlibat.
Beliau berkata, APM telah melakukan pemerhatian di kawasan-kawasan tersebut dan bakal membuat laporan kepada agensi terlibat sekiranya menemui sebarang tanda-tanda yang boleh menyebabkan bencana yang lebih besar.
“Jumlah keseluruhan termasuk pelbagai pemerhatian, misalnya pencemaran udara, efluen yang tidak dikenal pasti dan sebagainya. Bagaimanapun, APM hanya lakukan pemerhatian dan bukan pemeriksaan secara teknikal.
“Kami masih perlukan kepakaran jabatan teknikal sebab APM hanya membuat penilaian melalui mata kasar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, di sini semlam.
Dalam pada itu, Aminurrahim berkata, APM turut menggerakkan 533 anggota pasukan ‘chameleon’ bagi melakukan rondaan kira-kira lima kali seminggu terhadap 4,619 ‘hot spot’ berisiko bencana dalam negara.
“Sepanjang 10 bulan ini, sebanyak 30,000 rondaan dilakukan di setiap daerah dan negeri.
“Dalam pada itu, APM turut mewujudkan pasukan ‘elak pokok tumbang’ dimulakan di Kota Tinggi, Johor secara kecil-kecilan sebagai projek perintis,” jelas beliau. – UTUSAN










