Seni persembahan pentas seperti teater dan bangsawan meskipun sedang mendapat sambutan , tetapi isunya bagaimana menarik minat golongan muda meminati seni tersebut.
Seni persembahan bangsawan diadakan sejak zaman dahulu, sebagai medium hiburan penduduk desa yang ketika itu tidak ada sumber bagaimana mendapatkan hiburan.
Jalan cerita teater bangsawan biasanya mengambil inspirasi daripada kisah masyarakat, cerita rakyat yang dipentaskan menerusi banyak babak dan diselang-selikan dengan sesi extra-turn bagi memudahkan kru pentas membuat pertukaran set dan latar untuk babak-babak seterusnya. Fungsi extra-turn ialah supaya kru pentas dapat mengambil masa melakukan perubahan set dan tirai latar di belakang pentas.

Di samping persembahan nyanyian, tarian, silap mata, lawak jenaka dan sebagainya, extra-turn juga digunakan untuk menyampaikan maklumat tertentu kepada orang ramai.
Pada ketika ini, banyak sumber hiburan yang boleh dinikmati orang ramai menerusi televisyen, kerana ada slot-slot drama yang boleh ditonton sebagai sumber hiburan dan wayang gambar yang ditayangkan di panggung.
Berbeza dengan seni persembahan seperti wayang kulit, teater, tarian, nyanyian, dikir barat dan sebagainya kerana ia boleh diadakan di kampung-kampung.
Bagi seni bangsawan, penonton disajikan dengan lakonan secara terus dengan bantuan alunan muzik, nyanyian mungkin ada gurindam, syair, deklamasi puisi dan tarian bagi menguatkan jalan cerita.
Cerita bangsawan merupakan satu persembahan drama tradisi yang berkisar tentang kisah-kisah raja yang melibatkan alam kayangan dan nyata, umpamanya Jula Juli Bintang Tujuh dan Gulbakawali. Termasuk juga cerita sejarah, kisah-kisah masyarakat zaman dahulu, legenda rakyat seperti Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan Megat Terawis. Watak-watak dalam bangsawan biasanya terdiri daripada raja dan permaisuri, pahlawan, putera kacak dan puteri yang cantik, hamba, jin dan raksaksa.
Justeru, usaha mementaskan seni bangsawan memang mencabar bagi menghidupkan suasana zaman dahulu menerusi elemen pakaian yang digunakan pelakon, lontaran dialog yang menggunakan bahasa klasik atau mungkin bahasa istana.
Pelakon mungkin diperlukan untuk menari dan menyanyi sesuai dengan jalan cerita.

Aktivis teater Sakrani Shamsuddin mengakui kesukaran dalam menghasilkan seni persembahan bangsawan. Beliau yang juga Presiden Persatuan Teater Malaysia mengakui kos menghasilkan bangsawan agak tinggi terutama menyediakan kostum pelakon selain set dan tirai latar yang perlu dilukis sepenuhnya.
Meski pun beliau dikenali dalam kalangan penggiat teater sebagai ‘tukang’ kerana kemahiran dan kepakarannya mereka bentuk set/prop lakonan, cabarannya tetap ada terutama kos bahan yang tinggi.
“Saya mendapat bantuan daripada isteri, Kenchana Yusof yang kebetulan pakar dalam mereka dan menjahit kostum teater, tetapi kosnya tetap tinggi, begitu juga set, prop dan tirai latar yang memerlukan rekaan zaman dahulu dan sebagainya,” ujar beliau.
Mengenai barisan pelakon, Sakrani menggunakan pendekatan mudah iaitu memanfaatkan bakat-bakat muda daripada fakulti seni persembahan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dan sekolah-sekolah yang berminat dengan seni teater.
“Saya mendekati mereka kerana golongan ini berbakat, berilmu dan berpotensi untuk meneruskan aktiviti berteater hingga bila bekerjaya nanti. Kita boleh pupuk minat mereka kepada seni persembahan bangsawan dengan memanfaatkan bakat,ilmu dan pengaruh mereka.
Tambahan pula golongan ini terdedah kepada banyak sumber hiburan termasuk media sosial, justeru mereka diberikan pilihan untuk berteater sebagai alternatif atau lari daripada kebiasaan mengekses hiburan secara digital. Ini kerana melalui seni teater sahaja mereka akan dapat mengenali dan mempelajari untuk mengekalkan budaya dan warisan negara. Mereka juga dapat mengekalkan jati diri dan budi bahasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sakrani berkongsi tidak semua boleh menghasilkan persembahan melainkan mereka mempunyai kemahiran dan pendekatan betul .
“Jalan cerita perlu menarik dan tidak membosankan serta dekat di hati penonton teruatamanya generasi remaja dan kanak-kanak. Kita perlu mendekati dan memahami keinginan generasi masa kini. Selain perlu menekankan seni teater sebagai instrumen pendidikan, komunikasi, terapi dan perpaduan. Perlu elemen didik hibur,” ujarnya lagi.
Masa lampau adakalanya cerita seni bangsawan, kadangkala memerlukan babak lakonan yang panjang mungkin antara satu hingga tujuh babak. Jika dipersembahkan beberapa babak mungkin memerlukan beberapa hari persembahkan. Penonton akan tetap hadir kerana ingin mengetahui apa kesudahan cerita tersebut, ujarnya lagi.
Dahulu penonton boleh menikmati bangsawan secara santai, sambil minum kopi kerana dipentaskan di kawasan terbuka di atas pentas khas.
Justeru beliau mahu seni teater bangsawan ini bukan sahaja dipertahankan, malah diterus dikembangkan dengan sokongangan kerajaan, memandangkan ia satu cabang seni warisan.

Ceritanya mungkin berkisar tentang kisah sejarah India, Parsi, Jawa, Melayu dan ada juga kisah Barat terutama cerita kanak-kanak dan remaja.
Istimewanya persembahan bangsawan ini ialah extra-turn dan selain persembahan nyanyian, tarian, muzik, di sinilah maklumat dan slogan dari kerajaan dapat dikongsi bersama penonton.
Ujar beliau, usaha mendekati remaja dan golongan muda menerusi kerjasama dengan mereka dalam menghasilkan bangsawan perlu diteruskan supaya seni warisan ini dipertahankan.
Namun di sebalik giat usahanya menghasil dan mementas seni bangsawan, beliau turut sedih dengan isu yang dihadapi bidang seni persembahan iaitu ketiadaan atau kurangnya prasarana khas untuk tujuan itu. Tiada panggung khas untuk teater bangsawan, mak yung, randai dan wayang kulit sekitar ibu negara.
Setakat ini katanya pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang terus memberikan sokongan dan kerjasama dalam mengangkat dan melestarikan persembahan seni teater. Balai Budaya, Stor
Teater dan Auditorium DBP sering dijadikan tempat mengadakan persembahan, dan isunya sampai bila penggiat teater akan terus menjadikan DBP sebagai tempat persembahan.
Kerajaan perlu mewujudkan hab seni persembahan pentas yang bersesuaian genre seni persembahan pentas terutamanya teater tradisional, juga mengikut kemampuan ekonomi penggiat seni.
Sebelum ini, ada beberapa lokasi yang kerap dijadikan ruang seni persembahan seperti Panggung Bandaraya dan Pusat Pelancongan Malaysia serta Istana Budaya, namun ruangan tersebut amat terhad dan agak elit untuk penggiat seni, malah ruangan tersebut dimiliki oleh badan atau agensi yang mempunyai polisi masing-masing.
Memang tidak dinafikan ada beberapa ruang persembahan yang dimiliki pihak syarikat, namun seni persembahan teater masa kini masih belum lagi sebagai industri. Sakrani berharap kerajaan mengambil berat isu prasarana ini demi kelangsungan seni persembahan di negara kita.
Isu lain seperti naskah teater dan bakat agak banyak manakala pelakon boleh diambil dalam kalangan pelajar dinstitusi seperti universiti, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Kita tidak perlu bangunan baharu untuk seni persembahan cukuplah dengan binaan kecil, ringkas yang boleh menampung antara 300 hingga 500 penonton,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, penggiat teater perlu bergabung tenaga menganjurkan Kongres Teater Malaysia dalam tempoh terdekat yang akan dijadikan medan perbincangan menyentuh isu teater tempatan termasuklah antaranya prasarana. – UTUSAN










