PETALING JAYA: Perbahasan RUU Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) yang menjadi pertikaian segelintir pihak merupakan antara agenda perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini ditetapkan untuk menyambung perbahasan RUU Mufti dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 serta RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 yang kini di peringkat bacaan kali kedua.
RUU Mufti adalah antara empat rang undang-undang yang ditangguhkan daripada dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.
Tiga RUU lain ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Bagaimanapun RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan kewarganegaraan telah diluluskan pada 17 Oktober lalu dengan sokongan lebih dua pertiga majoriti anggota Dewan Rakyat.
Sebelum ini, RUU Mufti menjadi pertikaian segelintir pihak yang konon mendakwa ia digubal secara tergesa-gesa dan dipengaruhi pihak tertentu adalah tidak benar.
Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata. penggubalan RUU itu merupakan usaha yang diambil kerajaan bertujuan untuk memartabatkan dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat juga ditetapkan untuk menyambung perbahasan Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu.
Selain itu, antara menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini adalah perancangan dan strategi kerajaan untuk mendapatkan data kewujudan warga asing tanpa izin di Malaysia dan berapa jumlah pemegang kad kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Perkara itu merupakan antara pertanyaan-pertanyaan lisan yang berlangsung pada sebelah pagi.
Malah antara soalan menjadi pertanyaan adalah berkenaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila Dr. Abd. Ghani Ahmad (PN-Jerlun) meminta Menteri Kewangan menyatakan adakah kerajaan bersedia membenarkan pencarum yang terpilih untuk menunaikan haji boleh mengeluarkan simpanan mereka sebelum mencapai umur persaraan.
Aspek pendidikan juga menjadi fokus Dewan Rakyat apabila Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Pendidikan menyatakan data dan analisis berkaitan prestasi pelajar dengan ketiadaan sistem peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Beliau juga bertanyakan apakah langkah menangani isu keciciran pelajar dalam pembelajaran serta adakah terdapat kajian terhadap cadangan pengembalian semula sistem peperiksaan awam tersebut.
Berkenaan undang-undang pula, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah kerajaan telah mengkaji keperluan untuk memansuhkan akta-akta zalim seperti janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 Pakatan Harapan (PH) misalnya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang terus diguna pakai hari ini.
Sidang Dewan Rakyat pada minggu ini hanya berlangsung selama dua hari bagi memberi laluan kepada perayaan Deepavali yang disambut pada Khamis ini. – UTUSAN










