PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ketika menggeledah sebuah pangsapuri di ibu negara yang didakwa dijadikan sebagai rumah selamat atau safehouse seorang ahli politik berpengaruh, kelmarin.
Penggeledahan kira-kira pukul 10 malam itu adalah susulan penahanan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), baru-baru ini.
Satu sumber berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah jutaan ringgit berhubung konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.
“Kedua-dua suspek didakwa ada kaitan dengan ahli politik yang pernah mempunyai pengaruh di Selangor.
“Salah seorang yang ditahan mendedahkan kewujudan safehouse yang didakwa bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh,” katanya di sini.
Menurut sumber itu, siasatan mengesyaki pangsapuri berkenaan disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah.
“Hasil penggeledahan itu menemukan sejumlah wang mata wang Singapura SGD1,529,000 atau kira-kira RM5 juta.
“Wang ini disimpan bertujuan kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang itu disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut.
“Dipercayai wang ini diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh terbabit,” katanya.
Susulan itu, sumber berkata, SPRM sudah membekukan kira-kira 15 akaun bank milik beberapa individu dan syarikat, termasuk yang dipercayai penyiasat digunakan untuk menyalurkan rasuah.
“SPRM juga sedang menyiasat pembabitan ahli politik berpengaruh itu. Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai serbuan yang dilakukan SPRM.
“Saya sahkan ada dua orang ditangkap yang (didakwa) terbabit dalam perbuatan rasuah berhubung mendapat konsesi pasir daripada MBI,” katanya. – UTUSAN










