RM20,000 seludup masuk seorang warga Bangladesh

RM20,000 seludup masuk seorang warga Bangladesh

Sindiket penyeludupan migran mengenakan bayaran hampir RM20,000 kepada setiap warga Bangladesh yang transit di Singapura untuk dibawa masuk ke negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket penyeludupan migran mengenakan bayaran hampir RM20,000 kepada setiap warga Bangladesh yang transit di Singapura untuk dibawa masuk ke negara ini dengan berjalan kaki melalui laluan terpencil ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Selepas berjaya masuk, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu akan ditempatkan di sebuah rumah penampungan di Taman Daya terlebih dahulu sebelum dibawa menuju ke destinasi tertentu.

Walau bagaimanapun, kegiatan sindiket yang didalangi warga tempatan dan Bangladesh tersebut terbongkar selepas pihak polis menyerbu rumah penampungan terbabit pada 9 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya melakukan serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi dan berjaya menahan seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing yang berperanan sebagai pengurus atau ‘transporter’ atau penjaga rumah penampungan itu.

“Selain itu, seramai 21 migran lelaki warga Bangladesh yang berusia antara 19 hingga 44 tahun juga berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Kumar berkata, migran tersebut diurus oleh ejen di Bangladesh dengan bayaran sebanyak Taka 550,000 atau RM20,000 setiap seorang sebelum transit di Lapangan Terbang Changi, Singapura.

“Migran ini kemudian diuruskan oleh ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia dengan cara berjalan kaki melalui laluan terpencil menuju ke BSI. Kesemua mereka akan diambil oleh ‘transporter’ untuk dihantar ke rumah penampungan yang telah disediakan,” katanya sambil memberitahu sindiket itu dikesan bergerak aktif sejak Ogos lalu.

Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas 25 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 pasport warga Bangladesh, wang tunai RM1,200, SG$2 dan mata wang Bangladesh sebanyak Taka 5,460 serta satu kad ATM.

Selain itu, turut dirampas satu surat perjanjian peminjam kereta, serangkai anak kunci premis, dua kereta, iaitu Perodua Axia dan Perodua Myvi serta alat kawalan jauh kereta.

Ditanya lebih lanjut tentang kemungkinan ada penglibatan ‘orang dalam’ di BSI, Kumar memberitahu, perkara itu masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN