KANGAR: Perikatan Nasional (PN) perlu mencari punca dan memperbaiki segera kelemahan berikutan kekalahan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, iaitu kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas di Nenggiri.
Dalam masa sama, PN tidak boleh lalai dan terlalu selesa dengan beranggapan pengundi Melayu serta golongan muda terus bersama gabungan itu, sebaliknya harus mengkaji semula sistem diguna pakai dalam PRK berkenaan agar keputusan seperti itu tidak terus berulang dalam pilihan raya akan datang.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, PN menerima kekalahan tersebut dan dalam masa sama yakin pengundi masih bersama gabungan berkenaan.
Katanya, apa yang perlu diberikan perhatian serius adalah mengkaji semula aliran pengundi di kawasan itu untuk mendepani pilihan raya.
Ujarnya, tumpuan selepas ini bukan sahaja di kawasan kubu kuat UMNO, sebaliknya di kawasan kuat PN sendiri.
“Banyak perkara perlu diberikan tumpuan dan PN perlu segera mencari punca serta memperbaiki kelemahan. Jangan lalai dan selesa, kekalahan ini perlu dijadikan pengajaran untuk kita memperbaiki segala kelemahan.
“Kaji punca mengapa kita kalah dan di kawasan kita kuasai pula contohnya di Perlis yang menang 17 daripada 18 kerusi DUN serta Parlimen, jangan terlalu bangga atau selesa sebaliknya terus mendekati rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Keputusan PRK DUN Mahkota menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, menang dengan majoriti 20,648 undi mengatasi calon PN, Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.
Hashim berkata, dalam soal calon, PN sepatutnya mengetengah atau menyediakan individu yang boleh diterima pengundi.
“Apa pun, kita perlu belajar daripada kekalahan ini untuk lebih kuat pada masa depan. Kekalahan ini juga bukan isyarat pengundi Melayu beralih arah sebaliknya pengundi Melayu sama kukuh bersama PN,” katanya. – UTUSAN











