PETALING JAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan pembangkang fokus kepada pembangunan negara, bukan semata-mata politik.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa penerimaannya adalah berdasarkan prinsip kompromi dan proses perundingan yang berterusan.
Menurutnya, beliau secara prinsip bersetuju menandatangani MoU tersebut dengan kerajaan kerana ia merupakan satu proses penting yang memerlukan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang untuk membangunkan negara.
“Ini adalah proses kompromi di mana kita perlu berunding dan mencari titik persetujuan. Saya juga telah mencadangkan beberapa penambahbaikan dan saya juga memberi komitmen untuk bersetuju dengan beberapa prasyarat yang kerajaan letakkan.
“Selain itu, bagi prasyarat di mana perlu untuk mengisytiharkan aset secara penuh, saya tidak ada masalah, malah jika perlu setiap tahun sekalipun, saya sanggup. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kita kekal fokus dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu akhir ini melaporkan hanya Syed Saddiq yang memberikan maklum balas rasmi berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Mengulas lanjut, beliau menghormati pendirian setiap ahli Parlimen pembangkang yang masih belum menerima MoU tersebut.
“Saya hormat pendirian mereka, namun saya percaya kita perlu menggunakan masa ini untuk fokus kepada pembangunan negara. Jika ingin menang atau jatuhkan kerajaan, itu nanti ketika pilihan raya, bukan sekarang,” katanya. – UTUSAN










