PETALING JAYA: Pengenalan mata wang BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan) yang bakal menjadi alternatif kepada dolar Amerika Syarikat (AS) secara tidak langsung mengurangkan dominasi mata wang itu dalam perdagangan antarabangsa.
Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, ia adalah satu agenda yang wajar disokong kerana manfaatnya.
“Penggantungan kepada dolar AS membuatkan kita juga terkesan dengan apa yang dilakukan oleh Perbendaharaan AS, misalnya dalam melaksanakan dasar kewangannya.
“Selain mengurangkan penggantungan kepada mata wang itu, perdagangan sesama negara ahli dan sekutu BRICS boleh dilaksanakan mengikut mekanisme lain.
“Antaranya, menggunakan mata wang kelompok itu sendiri walaupun usaha menghasilkan mata wang itu masih di peringkat awal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, menurut hantaran @BRICSInfo di platform X, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, namun bukan ahli penuh, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.
Nungsari berkata, perluasan anggota dan ahli BRICS sedikit sebanyak mengubah geopolitik dunia.
Katanya, pengembangan kumpulan itu membantu proses globalisasi yang menyatukan rangkaian penawaran dunia, mungkin akan berpecah.
“Pecahan rangkaian ini melihat kepada dua blok besar iaitu kepada kelompok The Group of Seven (G7) dan BRICS.
“Walaupun Malaysia terus berdagang bersama G7, pembentukan BRICS yang juga merangkumi ASEAN membawa makna Malaysia juga perlu menjadi sebahagian daripadanya walaupun hanya secara sekutu, bukan ahli,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar berkata, BRICS berpotensi menjadi satu alternatif antarabangsa kerana ia tidak kelihatan hegemonistik.
Katanya, pembentukan BRICS dapat menyuburkan sistem multilateral dan boleh melahirkan oder global baharu yang lebih adil dan saksama.
“Malah, secara tidak langsung mengakhiri dominasi dan hegemoni daripada Barat.
“Namun, ada banyak cabaran yang perlu dilalui kalau kita mahu bebas daripada penggantungan kepada mata wang dolar AS khususnya dalam perdagangan dan ekonomi dunia,” katanya.
Menurutnya, kemasukan Malaysia ke dalam organisasi itu merupakan perkembangan yang sangat positif kepada negara kerana ia membebaskan dasar luar negara, keselamatan, politik dan ekonomi.
“Perkembangan ini secara tidak langsung membantu negara untuk tidak terikat kepada mana-mana blok tertentu,” katanya. – UTUSAN










