KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menebang hutan untuk membuka ladang kelapa sawit baharu kerana keluasan tanaman komoditi itu yang kini berjumlah 5.7 juta hektar sudah mencukupi.
Sebaliknya, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, fokus negara kini adalah kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran sawit secara mampan dan mendapat nilai paling maksimum berbanding memperluaskan penggunaan tanah.
Katanya, walaupun ladang kelapa sawit Malaysia hanya membentuk 0.1 peratus daripada tanah pertanian global tetapi minyak sawit negara menyumbang hingga 20 peratus eksport minyak dan lemak yang boleh dimakan dunia.
CEKAP
“Minyak sawit kita merupakan tanaman yang sangat cekap dengan mencapai hasil sebanyak 3.3 tan metrik sehektar berbanding minyak kacang soya yang menghasilkan 0.5 tan metrik sehektar, minyak biji sesawi (0.8 tan metrik sehektar) dan minyak bunga matahari (0.8 tan metrik sehektar).
“Kita tidak lagi menebang hutan. Kita ada 5.7 juta hektar, itu sudah cukup. Sekarang, kita perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan hasil,” katanya semasa berucap pada Kongres Minyak dan Lemak Antarabangsa 2024 (OFIC 2024), di sini, semalam.
Dalam pada itu, Johari berkata, skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dilihat mampu menangani kriteria global melalui kebolehkesanan produk, bebas penebangan hutan, kesahihan hak milik tanah dan amalan buruh yang bertanggungjawab.
SIJIL
Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, seluas 4.6 juta hektar bersamaan dengan 81.24 peratus daripada ladang kelapa sawit di Malaysia sudah mendapat pensijilan MSPO.
Katanya, peserta industri sawit di negara turut boleh menggunakan model ekonomi kitaran untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka dalam pengurusan sisa sawit.
“Penggunaan teknologi boleh menukar sisa sawit kepada tenaga, sekali gus membantu negara untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil bagi penjanaan tenaga,” katanya.
Tambahnya, tenaga boleh baharu tersebut boleh digunakan untuk menyokong matlamat Malaysia dalam mencapai pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2030.
“Katakan satu kilang sawit boleh menjana lima megawatt (MW), kalau ada 400 kilang misalnya, kita boleh menjana 2,000 MW tenaga boleh baharu (daripada sisa buangan sawit).
“Ketika ini, hanya 20 peratus daripada 446 kilang memproses kelapa sawit yang telah menggunakan sisa demikian bagi menjana tenaga,” katanya.
Johari berkata, industri sawit negara juga dijangka tidak terkesan dari segi daya saing industri susulan semakan semula kadar duti eksport minyak sawit (MSM) bermula 1 November depan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, semakan semula duti eksport itu adalah untuk menggalakkan aktiviti pemprosesan lanjut dan aktiviti hiliran dalam industri sawit untuk menghasilkan produk nilai tambah lain.
“Apabila kita kenakan cukai yang tinggi untuk eksport MSM, kita sebenarnya mahu menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran dan lebih banyak produk nilai tambah dibuat dalam negara berbanding mengeksport MSM,” katanya. – UTUSAN









