Lintah banjir RM5 seekor untuk bekam

Lintah banjir RM5 seekor untuk bekam

AZMAN Azhar menunjukkan lintah yang ditangkap yang dijual bagi tujuan perubatan kaedah bekam di Kampung Tersusun Teluk Memali dekat Pasir Salak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Lintah ketika musim banjir memberi pendapatan buat seorang penduduk di sini yang menjualnya untuk tujuan rawatan perubatan secara bekam.

Azman Azhar, 24, yang tinggal di Kampung Tersusun Teluk Memali di sini berkata, musim banjir menyebabkan lintah banyak membiak di kawasan berair yang bertakung lama di sekitar kampungnya.

Menurutnya, air yang lama bertakung berbau busuk dan berwarna hitam merupakan sarang lintah.

“Sejak empat tahun lalu, apabila musim hujan, menangkap lintah menjadi pendapatan sampingan saya kerana ia boleh dijual bagi tujuan rawatan bekam.

“Di kampung ini memang banyak kawasan berpaya yang menjadi sarang lintah bersaiz besar. Tidak susah untuk menangkapnya, hanya dengan meletakkan tangan dalam air dan lintah akan datang untuk menghisap darah atau jika ternampak, saya terus tangkap.

“Dalam sehari saya boleh dapat hingga 50 ekor lintah dan dijual dengan harga RM5 seekor. Kalau banyak dapat, sekali jual dapat RM100 hingga RM200.

“Ada pembeli dari luar daerah ini yang membelinya untuk rawatan bekam. Harganya RM5 seekor tanpa mengira kecil atau besar,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung sudah biasa melihat lintah bersaiz besar kerana kampung itu asalnya kawasan berpaya yang memudahkan lintah membiak.

“Kalau musim banjir, kami sudah biasa melihat lintah sehingga ada yang memanjat bahagian dinding rumah, menunjukkan kawasan ini memang banyak lintah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN