PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) hanya menerima hasil berjumlah RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet).
Kementerian Kewangan memaklumkan, pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah RM27 juta, PNB RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam Fashion Valet.
Pelaburan tersebut merupakan sebahagian daripada mandat Khazanah pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapatkan pendedahan kepada tesis pelaburan dalam sektor e-dagang yang kian berkembang.
Pada masa sama, tesis pelaburan PNB adalah untuk menyokong syarikat runcit digital bumiputera yang sedang berkembang pesat untuk menjadi platform runcit serantau bagi jenama-jenama tempatan.
“Pelaburan Khazanah dan PNB disalurkan ke dalam syarikat Fashion Valet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.
“Namun, berikutan pandemik Covid-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan syarikat Fashion Valet telah terjejas teruk dan lanjutan daripada itu, Fashion Valet memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi.
“Pada akhir tahun 2023, sebuah syarikat bumiputera iaitu NXBT Partners telah menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam Fashion Valet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut.
Sehubungan itu, jelas kementerian berkenaan, kesemua pemegang saham telah bersetuju menerima tawaran tersebut.
Penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB dari Fashion Valet kepada pelabur strategik yang akan dapat terus membantu Fashion Valet untuk menyelesaikan keperluan pembiayaannya secara holistik dan mengembangkan semula perniagaan dalam keadaan industri yang mencabar.
“Khazanah dan PNB telah menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut. Jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” ujarnya. – UTUSAN