Kerugian akibat banjir berjaya dikurangkan

Kerugian akibat banjir berjaya dikurangkan

AHMAD ZAHID Hamidi (empat dari kiri) melancarkan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Negara berjaya mengurangkan kerugian akibat bencana banjir sepanjang tahun lalu kepada kira-kira RM755 juta berbanding RM1.03 bilion pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengurangan sebanyak RM275 juta pada tahun lalu itu hasil daripada pengurusan cekap dan berkesan susulan pelaksanaan konsep Pengurangan Risiko Bencana.

Justeru, beliau menyeru negeri-negeri terutamanya yang kerap dilanda banjir supaya membuat persediaan dan menambah baik cara pengurusan risiko menghadapi bencana alam itu menjelang Monsun Timur Laut (MTL) tidak lama lagi.

Menurutnya, langkah tersebut penting dalam mengurangkan korban nyawa, kerugian serta kemusnahan harta benda kesan daripada bencana alam tersebut.

“Langkah-langkah ini kita akan laksanakan di seluruh negara dan saya meminta semua pengerusi jawatankuasa bencana negeri dengan Setiausaha Kerajaan Negeri adalah pengerusinya,” ujar beliau selepas melancarkan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Taman Kota Jaya, dekat sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun bencana tidak boleh dielakkan, namun risikonya boleh diminimumkan.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana merasmikan PPKB Taman Kota Jaya yang merupakan PPKB kedua dilancarkan selepas Pahang.

Sementara itu di PUTRAJAYA: Negara dijangka menerima kehadiran MTL bermula November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang berkata, hujan lebat juga diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.

Beliau berkata, episod hujan lebat itu juga dijangka tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari 2025.

“Hujan berterusan mungkin berlaku di negeri pantai barat sekiranya berlaku luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara,” katanya pada Forum Iklim Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan’ di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN