Kadar tanaman semula sawit pekebun kecil masih rendah

Kadar tanaman semula sawit pekebun kecil masih rendah

Kadar penanaman semula kelapa sawit pekebun kecil yang direndah dikhuatiri menyebabkan penguncupan pengeluaran kepada 18.6 juta tan berbanding melebihi 20 juta tan sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar penanaman semula kelapa sawit melibatkan pekebun kecil dalam negara masih di bawah paras standard tahunan yang diperlukan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia hanya melibatkan 0.2 peratus berbanding standard empat peratus setahun yang diperlukan sekali gus menyuarakan kebimbangan mengenai penguncupan pengeluaran sawit kepada 18.6 juta tan, berbanding melebihi 20 juta tan sebelum ini.

“Kita akan cuba mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mengembalikan skim pembiayaan penanaman semula pekebun kecil sawit dalam bentuk geran sepenuhnya, berbanding kaedah sedia ada.

“Dalam konteks permohonan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) supaya skim dikembalikan kepada sepenuhnya geran, saya akan cuba berbincang dengan Kementerian Kewangan, bukan sahaja bagi menambahkan penanaman semula (sawit) tetapi lebih kepada untuk memudahkan pekebun kecil meningkatkan pengeluaran.

“Kita cuba, tunggu Jumaat ini (pembentangan Belanjawan 2025),” katanya menjawab soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, Johari berkata, galakan bagi penanaman semula tidak hanya dihadkan kepada pekebun kecil sawit kerana pekebun yang memiliki estet besar juga ditekankan untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha estet kecil dalam menjayakan program tanaman semula sawit.

“Banyak insentif turut diberikan (kepada bukan pekebun kecil sawit yang membuat tanaman semula) dari segi elaun pelaburan. Kalau mereka mempunyai benih bagus dan berkualiti tinggi, sebelum mereka membawa benih ini keluar dari negara, kita akan galakkan supaya ia dikongsi dengan pekebun atau estet kecil.

“Banyak lagi dari segi amalan pertanian baik yang digalakkan kepada estet, antaranya untuk menggunakan standard penanaman, material digunakan dan baja berkualiti.

“Ini semua nasihat yang akan diberikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk memastikan industri ini terjamin dari segi pengeluaran hasil setiap ladang sawit,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN