KUALA NERUS : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) optimis semua kakitangan awam di seluruh negara akan menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kerana ia adalah sistem saraan terbaik yang pernah ditawarkan kerajaan Malaysia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, beliau yakin semua penjawat awam akan berbuat demikian sebelum tempoh menandatangani opsyen SSPA berakhir 30 November depan.
“Setakat ini, kita belum ada lagi jumlah sebenar kakitangan awam yang telah menandatangani opsyen SSPA tersebut kerana ia baru sahaja bermula pada 21 Oktober lalu.
“Ketika ini, seluruh kementerian, jabatan dan agensi sedang melaksanakannya, namun saya optimis semua kakitangan akan menandatangani opsyen SSPA tersebut kerana ia adalah sistem saraan terbaik yang pertama pernah kita adakan di Malaysia.
“Insya-Allah, saya pasti dan yakin semua penjawat awam akan tandatanganinya,” katanya ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai Awam Persekutuan negeri Terengganu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata,
kerajaan melalui JPA telah menawarkan Dermasiswa B40 kepada 6,624 pelajar cemerlang daripada golongan berpendapatan rendah di seluruh negara untuk meringankan beban kewangan mereka sepanjang pengajian di universiti awam.
“Dermasiswa B40 ini dapat membantu mereka menamatkan pengajian dengan lebih selesa dan lancar sekaligus mengubah hidup keluarga selepas tamat pengajian kelak,” katanya.-UTUSAN