UMNO Johor perlu belajar dengan Selangor, Perak

‘Jangan sombong sangat’, Najwan selar pemimpin UMNO Johor

UMNO Johor
MOHD. NAJWAN HALIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pimpinan UMNO Johor perlu belajar dengan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan di Selangor dan Perak yang meraikan sokongan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) walaupun secara jelas kedua-dua blok itu tidak seimbang dari segi jumlah kerusi di negeri tersebut.

Malah, UMNO Johor diingatkan supaya tidak terlalu mendabik dada atas kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kerana ia turut disumbang oleh gerak kerja jentera PH.

Timbalan Ketua Cabang, Mohd. Najwan Halimi dalam kenyataannya berkata, UMNO perlu menyedari realiti tiada satu parti politik ketika ini yang menjadi dominan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor itu menegaskan, tiada parti berupaya menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan BN sendiri tidak berupaya membentuk kerajaan negeri di Perak dan Pahang.

“Kepimpinan UMNO di Johor barangkali boleh belajar dari kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor dan Datuk Seri Saarani Mohamad di Perak.

“Di Selangor, UMNO hanya menang dua kerusi DUN namun atas semangat perpaduan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO turut dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

“Begitu juga di Perak, meski pun PH menang 24 kerusi dewan undangan negeri, namun atas semangat perpaduan, jawatan Menteri Besar diserahkan mandat kepada ADUN dari BN yang hanya sekadar menang sembilan kerusi. Sebagai menghargai persefahaman tersebut, Menteri Besar Perak melantik tujuh ADUN PH sebagai ahli MMKN Perak,” katanya.

Dalam pada itu, Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik menempelak tindakan pimpinan UMNO Johor yang mencemuh parti rakan dalam PH dengan perumpamaan permainan judi.

“Saya tak berupaya mengupas dengan perumpamaan seperti poker atau mesin kuda kerana saya tidak pernah bermain judi. Biasanya, yang selalu main judi sahaja yang tahu istilah-istilah dan teknik-teknik berkaitan permainan tersebut.

“Belajarlah berpolitik dengan matang dan budiman. Kita kuat bukan kerana dengan hanya pandai bercakap dan sekadar jadi pahlawan ‘kesiangan’, kita kuat jika kita bersatu dan menyelesaikan perbezaan kita secara rundingan dan menghormati di antara satu sama lain.

“Jangan sombong sangat. Rakyat tak suka orang politik yang sombong. Alhamdulillah, UMNO berjaya menang dua pilihan raya kecil; merampas Nenggiri dan mengekalkan Mahkota,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN