KUALA LUMPUR: Pakar perubatan regeneratif dan anti-penuaan, Prof. Datuk Seri Dr. Mike Chan, 63, komited dalam terus meningkatkan bidang kajian berkaitan perubatan regeneratif dan anti-penuaan dunia yang bertujuan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada semua peringkat masyarakat.
Walaupun nama beliau mungkin tidak begitu dikenali di tanah air tetapi beliau merupakan satu nama yang tidak asing dalam dunia perubatan regeneratif dan anti-penuaan dunia dengan pengalaman hampir dua dekad dalam bidang perubatan.
“Saya mula menerokai bidang ini ketika ia masih tidak begitu popular di Malaysia. Saya berazam untuk memastikan bidang sel stem ini memberi manfaat kepada semua antaranya termasuklah meningkatkan jangka hayat manusia.
“Karier saya bermula dengan minat mendalam terhadap potensi penyembuhan dalam sel stim iaitu rawatan yang menggunakan sel hidup untuk memulihkan tisu badan yang rosak akibat penyakit atau penuaan.
“Terapi sel stem ini kini menjadi antara kaedah utama dalam menangani pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, artritis, dan penyakit jantung, yang sering dikaitkan dengan proses penuaan,” katanya ketika sesi wawancara di Maya Hotel baru-baru ini.
Selain itu, perubatan regeneratif ini bukan sahaja bermanfaat untuk individu yang kurang pendedahan, malah dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan penuaan seperti osteoporosis, penyakit jantung, dan gangguan hormon seperti menopaus.
Jelas Mike, rawatan ini juga berperanan menjaga penampilan fizikal yang sihat, meningkatkan keyakinan diri dan secara langsung menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.
“Selepas umur 40, manusia kehilangan sebanyak 10,000 neuron setiap hari dan proses penuaan otak bermula seawal usia 20 tahun, dengan lobus frontal berkembang sepenuhnya pada usia 24.
“Oleh itu, gaya hidup yang proaktif dan pengesanan awal gejala kemerosotan kognitif boleh memberi impak positif terhadap kesihatan otak dan mencegah masalah neurodegeneratif di kemudian hari.
“Dengan penyelidikan yang berterusan dan inovasi dalam teknologi perubatan, saya membuka peluang baru dalam dunia perubatan yang menjanjikan perubahan besar dalam cara kita melihat kesihatan dan penuaan,” ujarnya.
Mike Chan yang juga merupakan pengasas beberapa organisasi perubatan terkemuka, European Wellness, berharap inovasi yang dihasilkan dapat memberikan peluang kesihatan kepada semua peringkat masyarakat terutamanya yang memerlukan.
“Saya ingin memastikan setiap individu dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih sihat, bebas daripada penyakit yang berkaitan dengan usia.
“Terutamanya kepada mereka yang memerlukan seperti anak-anak yang kurang bernasib baik kerana perkara ini mampu untuk menyembuhkan banyak perkara yang tidak mampu sekarang ini.
“Rawatan yang dihasilkan akan lebih teliti dalam memberi rawatan kepada sel yang benar-benar tepat berbanding rawatan sekarang yang tidak memberikan rawatan yang sewajarnya terutamanya kepada sel yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Mike Chan turut berharap agar kerajaan memanfaatkan segala peluang yang ada dalam teknologi dan kajian yang dihasilkan kerana sel stim itu merupakan masa depan bidang perubatan.
“Bidang ini merupakan masa depan kepada perubatan dunia dan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan hal sebegini kerana kita sudah mempunyai pusat yang telah dibangunkan.
“Pihak kerajaan seharusnya lebih produktif dalam meluaskan kajian sel stim terutamanya dalam pelajar universiti kerana Malaysia tidak mempunyai ramai pakar dan pelapis yang mampu untuk meneruskan kajian ini.
Malah, Malaysia juga wajar untuk komited untuk meningkatkan kualiti perubatan terutamanya sel stem yang mampu untuk membawa Malaysia menjadi salah satu pusat pelancongan perubatan terkemuka.
Jelas Mike, dengan menggunakan teknologi sel stem terkini ia mampu untuk membantu pesakit yang menghidapi penyakit degeneratif seperti autisme, sindrom down, dan palsi serebrum.
“Rawatan ini bukan sahaja memberi peluang untuk kesihatan yang lebih baik, tetapi juga menarik pesakit dari seluruh dunia untuk mendapatkan rawatan khusus di Malaysia.
“Pelancongan perubatan dijangka berkembang pesat melalui inovasi ini, dengan Malaysia berpotensi menjadi hab kesihatan serantau.
“Selain menarik pelancong perubatan, ia juga meningkatkan reputasi negara dalam bidang penjagaan kesihatan regeneratif, menjadikannya destinasi utama bagi mereka yang mencari rawatan canggih dan berkualiti tinggi,” kongsinya.-UTUSAN