PUTRAJAYA: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan di sini semalam meminda hukuman mati yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kepada hukuman penjara 40 tahun.
Hukuman penjara itu berkuasa kuasa 1 November 2006 iaitu tarikh tangkap Azilah. Bekas pegawai polis berpangkat Cif Inspektor itu juga diperintahkan disebat 12 kali.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat.
ALASAN KUKUH
“Pada pandangan kami, Lampiran 46 (surat sokongan daripada bapa Altantuya, Dr. Shariibuu Setev) memberikan faktor mitigasi yang kuat dan alasan kukuh untuk kami pertimbangkan dalam menggunakan budi bicara kami.
Lampiran tersebut yang turut mengepilkan surat daripada bapa mangsa yang turut menyuarakan sokongannya terhadap permohonan (semakan) ini oleh pemohon (Azilah) untuk memindah hukuman mati kepada hukuman penjara.
“Oleh sebab itu, kami membenarkan permohonan semakan ini, kami ketepikan hukuman mati dan gantikannya dengan hukuman penjara selama 40 tahun dari tarikh tangkapan 1 November 2006 tidak termasuk dengan tempoh pemohon dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini. Tertuduh turut dikenakan sebat 12 kali,” kata Hakim Tengku Maimun.
Terdahulu, panel terbabit turut dimaklumkan bahawa Shariibuu Setev turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.
SIRUL
Sokongan itu turut dipanjangkan kepada seorang lagi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar. Bagaimanapun difahamkan, Sirul tidak memfailkan sebarang permohonan semakan.
Terdahulu, peguam J. Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah dalam hujahannya menyatakan, anak guamnya wajar diberikan hukuman penjara memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah berdasarkan arahan orang atasan.
“Azilah diberitahu oleh seorang pegawai, Deputi Supritenden Musa bahawa Altantuya perlu dihapuskan kerana wanita berkenaan adalah perisik antarabangsa dan mempunyai rahsia negara. Dalam fikirannya, dia (Azilah) sedang menjalankan operasi rahsia. Mereka telah dilatih, mereka tidak boleh ingkar perintah.
“Azilah terpaksa menanggung kesalahan ini berseorangan kerana seorang lagi tertuduh yang turut disabitkan dengan kesalahan ini, Koperal Sirul Azhar sedang bebas di Australia,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan oleh Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd Dusuki Mokhtar membantah permohonan semakan itu atas alasan pemohon telah melakukan jenayah yang kejam.
ARAHAN
“Mangsa telah ditembak sebelum diletupkan sehingga berkecai. Pemohon sepatutnya mengesahkan arahan yang diterima dan membuat tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Mereka disabitkan dengan kesalahan itu dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 namun dilepaskan dan dibebaskan pada 23 Ogos 2013 oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Namun, pada 13 Januari 2015, hukuman mati itu dikembalikan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pendakwaan.
Bekas Pengarah Eksekutif Malaysian Strategic Research Centre, Abdul Razak Abdullah Baginda yang sebelum ini dituduh bersubahat telah dilepaskan dan dibebaskan pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan ada kes prima facie terhadapnya. – UTUSAN










