KUALA LUMPUR: Sebanyak 113 projek perumahan swasta terbengkalai meliputi 30,371 unit rumah dan 15,952 pembeli setakat 30 September lalu sebagaimana termaktub di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada statistik tersebut sebanyak 72 projek terbengkalai adalah dalam kategori rumah bertanah, 36 projek rumah strata dan lima projek rumah bercampur.
Bagaimanapun katanya, sebanyak 14 projek perumahan swasta terbengkalai yang melibatkan 1,901 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM574.79 juta berjaya dipulihkan atau dilaksanakan penyelesaian di bawah pemantauan.
“Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) yang ditubuhkan sejak bulan Disember 2022 adalah insiatif proaktif dan bersasar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Ia untuk memulihkan projek terbengkalai yang rata-ratanya mengambil masa di antara satu hingga lima tahun berdasarkan kompleksiti dan keunikan isu masing-masing,” katanya dalam jawapan bukan lisan yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya status terkini projek perumahan terbengkalai seluruh negara dan pecahannya mengikut kategori rumah sehingga Oktober 2024.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menangani isu lambakan rumah tidak terjual terutama kategori Rumah Mampu Milik (RMM) melalui beberapa langkah seperti pemetaan harga.
Jelasnya, pemetaan harga RMM tersebut boleh diakses melalui Dashboard Maklumat Rumah Mampu Milik di laman web Malaysia Urban Observatory (MUO).
“Selain itu, kita juga menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan sebelum sesuatu pemajuan dimulakan bagi memastikan rumah yang dibina adalah sesuai dengan tahap kemampuan rakyat,” katanya.
Tambahnya, KPKT sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya (BDA) Perumahan sebagai langkah menyelesaikan isu perumahan terbiar untuk jangka masa panjang.
“Ia berperanan sebagai repositori dan sumber rujukan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor perumahan khususnya melibatkan perancangan pemajuan perumahan. Cadangan pelaksanaan projek ini adalah dengan anggaran kos projek bernilai RM36 juta untuk tempoh selama 36 bulan.
“Melalui sistem BDA Perumahan ini, modul-modul analitik data perumahan akan dibangunkan dan modul yang telah siap akan diguna pakai terlebih dahulu tanpa perlu menunggu projek siap sepenuhnya,” jelasnya. – UTUSAN











