2.2 juta rakyat Malaysia takut bersara awal

2.2 juta rakyat Malaysia takut bersara awal

KIRA-KIRA 2.2 juta daripada 3.4 juta rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan persaraan ekoran tidak cukup simpanan KWSP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 66 peratus atau 2.2 juta daripada 3.4 juta rakyat Malaysia terpaksa menangguhkan persaraan ekoran tidak cukup simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dibelenggu masalah kewangan sedia ada.

Menurut Laporan Ketahanan Kewangan dan Jangka Hayat di­ke­luarkan Manulife Investment Management (Manulife IM), ha­nya 50 peratus rakyat Malaysia gembira dengan aspek kewangan mereka hari ini.

Namun, sebanyak 83 peratus bimbang dengan faktor luaran seperti inflasi, 82 peratus kos penjagaan kesihatan yang meningkat dan 82 peratus kemelesetan yang berupaya menjejaskan matlamat persaraan mereka.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia terpaksa bekerja hampir 74 tahun bagi melengkapkan simpanan asas sebanyak RM240,000 sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dinaikkan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata,pekerja yang ingin mengekalkan gaya hidup yang selesa selepas bersara memerlukan 80 peratus daripada gaji bulanan terakhir semasa tempoh persaraan.

Menurutnya lagi, jumlah simpanan persaraan perlu mencapai 10 sehingga 12 kali gaji tahunan menjelang umur 60 tahun bagi menjadikan simpanan lebih stabil.

“Ramai pekerja di Malaysia menghadapi kesukaran untuk mencapai simpanan asas KWSP sebanyak RM240,000 menjelang umur 55 tahun disebabkan gaji rendah dan kos sara hidup yang tinggi sehingga membataskan ke­mampuan untuk menyimpan secara konsisten.

“Pekerja di peringkat rendah dan sederhana sering berhadapan cabaran mengekalkan tahap simpanan tinggi sambil berhadapan dengan perbelanjaan harian yang meningkat terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Persaraan pada masa kini semakin mencabar akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan kos sara hidup.

“Inflasi, kos perubatan yang meningkat dan komitmen kewa­ngan terhadap keluarga adalah halangan utama yang mengurangkan keupayaan mereka untuk menyimpan jumlah yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Pencarum KWSP terpaksa bekerja hampir 74 tahun bagi me­lengkapkan simpanan asas RM240,000 sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dinaikkan.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, statistik yang diberi oleh KWSP pada masa ini ialah 54 peratus daripada penca­rum yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000.

Beliau berkata, majoriti daripada pencarum tidak akan mampu bersara dengan selesa kerana tidak dapat mengumpul simpanan asas sebanyak RM240,000.

“Gaji minimum RM1,500 tidak mampu membolehkan penca­rum mendapat caruman asas RM240,000. Jadi pekerja harus berusaha mendapatkan gaji dan kadar caruman lebih tinggi serta dividen dari KWSP.

“Mereka perlu bekerja sehingga 74 tahun bagi melengkapkan simpanan asas KWSP agar tidak terbeban diusia tua,” katanya.

Tambah Mohd. Effendy, cada­ngan mewujudkan pekerjaan khu­sus untuk pesara dalam sektor awam atau swasta adalah langkah yang bermanfaat bagi menyokong kesejahteraan dan memastikan mereka terus aktif dalam ekonomi.

“Pesara memiliki kemahiran dan pengalaman yang berharga yang boleh dimanfaatkan melalui peranan sambilan atau kontrak.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada produktiviti organisasi tetapi juga memastikan penyaluran pengetahuan kepada pekerja muda yang baru mema­suki pasaran kerja.

“Namun, keseimbangan perlu dicapai dengan menyokong penyertaan tenaga kerja baru, terutamanya graduan dan lepasan sekolah yang semakin ramai setiap tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×