PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan agensi itu komited menjalankan siasatan secara profesional berhubung kes pemberian tender melibatkan projek 1BestariNet kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan mematuhi semua proses sewajarnya dalam menjalankan siasatan secara telus.
“Memandangkan siasatan masih berlangsung, kami di SPRM menyeru agar semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kes tersebut.
Kata beliau, siasatan dijalankan melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan YTL.
“SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan dengan sebaik mungkin,” kata Azam.
Semalam media melaporkan, YTL Power International Bhd (YTL Power) mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang menuduh mereka terlibat dengan salah laku berhubung kontroversi projek 1BestariNet.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, YTL Power menjelaskan, pihaknya diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka serta dianggap pihak yang paling mematuhi aspek teknikal serta efektif dari segi kos berbanding 18 pembida lain.
“Kami ingin menjelaskan kami telah melaksanakan kewajiban kontrak kami terhadap kerajaan dengan tekun sejak projek itu dimulakan.
“Sepanjang pengetahuan kami, kami tidak melanggar mana-mana terma kontrak atau melanggar mana-mana undang-undang,” katanya.
SPRM sebelum ini memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.
Difahamkan, SPRM sedang mengenal pasti saksi untuk dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan menjurus kepada dokumen tuntutan mengandungi butiran palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.
Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.
Kementerian Pendidikan menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.- UTUSAN