13 pekerja ‘kecut perut’ lihat kemunculan dua ekor harimau

13 pekerja ‘kecut perut’ lihat kemunculan dua ekor harimau

LOKASI harimau belang yang didakwa melintas jalan di Jalan Gua Musang-Kenyir dekat Felda Aring 5, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seramai 13 pekerja kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja menurap jalan ‘kecut perut’ selepas dikejutkan dengan kemunculan dua ekor harimau di Jalan Gua Musang-Kenyir dekat Aring 5 di sini, semalam.

Kemunculan haiwan karnivor itu disedari pada pukul 8.20 malam semasa kesemua pekerja sedang tekun melaksanakan tugas tersebut.

Pengurus pekerja kontraktor, Mohamad Alif Asrah Rosdi, 33, berkata, ia merupakan kejadian kedua yang berlaku selepas pekerja lain pernah melihat haiwan liar itu melintas jalan sebelum ini.

Katanya, kejadian yang berlaku semalam merupakan laluan sama mereka melihat seekor harimau belang sedang melintas jalan di jalan utama berhampiran Felda Aring 5, di sini kelmarin.

“Pekerja yang sedang melakukan kerja penurapan jalan semalam memaklumkan kelibat dua ekor harimau belang dikesan melintas jalan kira-kira 300 meter dari tempat mereka melakukan kerja.

“Sebelum itu, seekor harimau belang turut kelihatan melintas jalan kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin. Keadaan itu membuatkan kami bekerja dalam keadaan takut-takut dan berhati-hati kerana bimbang kemunculan haiwan liar itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Mohamad Alif Asrah memberitahu, jalan terbabit merupakan laluan utama penduduk di Felda Aring 5 dan juga terdapat perkampungan Orang Asli berhampiran kawasan itu.

Katanya, kemunculan haiwan liar itu turut menimbulkan kebimbangan kerana jalan berkenaan adalah laluan utama dan boleh menyebabkan kemalangan sekiranya harimau muncul dan melintas jalan pada waktu malam.

“Kami tetap meneruskan kerja sehingga pukul 12 tengah malam tadi untuk menyiapkan projek turapan jalan yang perlu disiap pada Khamis ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya masih belum menerima aduan berkenaan kemunculan haiwan liar di kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN